BERTAM – Kemudahan sukan di Seberang Perai terus diperkasa menerusi penyiapan kerja-kerja menaik taraf sistem pencahayaan padang bola sepak di Kompleks Sukan Bertam, sekali gus menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Haji Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pelaksanaan kerja naik taraf tersebut dijayakan menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan MBSP.
Menurut beliau, objektif utama pelaksanaan projek berkenaan adalah untuk menyediakan prasarana sukan yang lebih berkualiti, selesa dan selamat kepada masyarakat setempat.
“Inisiatif yang dilaksanakan secara berfasa ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan sukan awam agar memenuhi piawaian semasa serta mengoptimumkan penggunaan padang, khususnya pada waktu malam.
“Secara keseluruhan, kerja-kerja penambahbaikan sistem pencahayaan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM1,360,139 yang dibiayai sepenuhnya melalui dana KPKT.
“Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa 1 telah disiapkan pada 29 Julai 2025 oleh Firizq Engineering dengan kos RM969,539.
“Fasa tersebut memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas termasuk kerja-kerja struktur, sistem sokongan serta pemasangan 16 unit lampu.
“Pelaksanaan diteruskan menerusi Fasa 2 yang dikendalikan oleh YMZ Electrical & Engineering dengan kos RM390,600 dan siap sepenuhnya pada 5 Mac 2026.
“Fasa ini melibatkan pemasangan tambahan 24 unit lampu bagi melengkapkan reka bentuk asal sebanyak 10 unit lampu pada setiap tiang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek tersebut di sini, 11 Jun lalu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Ahli Majlis MBSP, Mohd. Noor Ahmad; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri di Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul; serta Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said.
Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata, kerja naik taraf itu melibatkan pemasangan empat tiang lampu limpah berketinggian 30 meter menggunakan teknologi lampu limpah LED berkapasiti 1,200 watt.
Jelasnya lagi, selepas Fasa 2 disempurnakan, tahap pencahayaan padang berjaya ditingkatkan secara signifikan kepada 528 Lux berbanding 240 Lux pada Fasa 1, sekali gus melepasi sasaran asal reka bentuk iaitu 400 Lux bagi keseluruhan kawasan padang.
Selain pemasangan lampu limpah, skop kerja turut merangkumi penambahbaikan sistem pendawaian, papan agihan elektrik serta proses pengujian dan pentauliahan bagi memastikan sistem beroperasi dengan selamat dan berfungsi secara optimum untuk kegunaan orang ramai.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB