MBSP tanggung kos pengurusan sampah RM37 juta setahun, pengasingan sisa perlu diperkasa

Admin
img 20261014 wa0049

PERMATANG BERANGAN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menanggung kos pengurusan sampah yang mencecah RM37 juta setahun bagi pelupusan sisa pepejal di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, sekali gus menuntut pendekatan lebih mampan untuk mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke tapak berkenaan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, Seberang Perai sahaja menghasilkan kira-kira 2,000 tan sampah sehari, manakala jumlah keseluruhan di Pulau Pinang dianggarkan antara 2,600 hingga 2,800 tan sehari.

Menurut beliau, dengan kos pengurusan yang dianggarkan sekitar RM40 bagi setiap tan, jumlah sampah yang tinggi memberi implikasi kewangan besar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dari segi pengurusan dan pelupusan sisa pepejal.

“Anggaran kos pengurusan sampah di Pulau Burung sahaja adalah sekitar RM3 juta sebulan iaitu kira-kira RM37 juta setahun.

“Justeru, kita perlu mencari jalan untuk mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan kerana langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan, malah memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan,” katanya ketika mengulas mengenai kos pengurusan sampah di kawasan pentadbiran MBSP, semalam.

Baderul Amin berkata, pengurangan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan berpotensi memberikan penjimatan besar kepada MBSP, sekali gus membolehkan sumber kewangan dimanfaatkan bagi keperluan perkhidmatan awam yang lain.

Menurutnya, sekiranya jumlah sampah harian di Seberang Perai dapat dikurangkan sebanyak 400 tan daripada anggaran 2,000 tan sehari, penjimatan kos dianggarkan mencecah RM5.76 juta setahun.

“Bayangkan jika kita dapat mengurangkan 400 tan sampah sehari.

“Dengan kos pengurusan sekitar RM40 bagi setiap tan, penjimatan yang boleh dicapai adalah kira-kira RM5.76 juta setahun.

“Ini menunjukkan bahawa pengurangan sampah bukan sekadar tanggungjawab menjaga alam sekitar, tetapi turut memberi kesan langsung kepada pengurusan kewangan PBT,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan memperluas amalan pengasingan sisa di punca, termasuk mengasingkan bahan yang boleh dikitar semula daripada sisa makanan dan sampah domestik lain sebelum dibuang.

Dalam pada itu, Baderul Amin berkata, sisa organik seperti lebihan makanan, nasi, sayur-sayuran dan kepala ikan yang dianggarkan merangkumi antara 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan sampah berpotensi diproses untuk menghasilkan biogas.

Menurutnya, usaha memanfaatkan sisa organik bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sampah yang perlu dilupuskan, malah membuka peluang penjanaan tenaga yang mempunyai nilai komersial.

Bagi merealisasikan usaha tersebut, projek Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Berintegrasi di Ampang Jajar yang menggunakan teknologi Material Recovery Facility (MRF) dan Anaerobic Digester (AD) dijangka siap sekitar April tahun hadapan.

Beliau berkata, sistem MRF membolehkan sisa pepejal diasingkan mengikut kategori seperti kaca, kertas, logam, sisa domestik dan bahan organik, manakala teknologi AD digunakan untuk memproses sisa organik bagi menghasilkan biogas.

“Melalui teknologi ini, sisa organik yang sebelum ini dibuang begitu sahaja boleh diproses untuk menghasilkan gas yang berpotensi dijual kepada pembekal gas, termasuk Gas Malaysia, tertakluk kepada keperluan teknikal dan komersial.

“Pendekatan ini membolehkan kita melihat sampah bukan semata-mata sebagai bahan buangan, sebaliknya sebagai sumber yang masih mempunyai nilai dan boleh dimanfaatkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha mengurangkan jumlah sampah masih berdepan cabaran, khususnya dari segi pematuhan orang ramai terhadap amalan pengasingan sisa di punca.

Menurutnya, percubaan mengurangkan kekerapan kutipan sampah daripada tiga kali kepada dua kali seminggu sebelum ini menimbulkan aduan dalam kalangan penduduk kerana sebahagian mereka masih belum mengamalkan pengasingan sampah dengan sewajarnya.

Keadaan itu menunjukkan bahawa penyediaan kemudahan dan teknologi pengurusan sisa sahaja tidak mencukupi tanpa perubahan sikap serta kerjasama masyarakat.

“Kalau kita mahu mengurangkan jumlah sampah, semua pihak perlu memainkan peranan.

“Pengasingan sisa mesti bermula dari rumah supaya bahan yang boleh dikitar semula dapat diasingkan dan sisa organik pula boleh diproses dengan lebih berkesan.

“Jika kita terus membuang semua jenis sampah tanpa pengasingan, jumlah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan akan kekal tinggi dan kos pengurusannya juga akan terus meningkat,” katanya.

Beliau berharap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengasingan sisa dapat dipertingkatkan secara berterusan bagi menyokong usaha MBSP membangunkan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan dan berdaya ekonomi.

Usaha mengurangkan sampah, menurut beliau, memerlukan komitmen bersama kerana setiap tan sampah yang berjaya dielakkan daripada dihantar ke tapak pelupusan bukan sahaja mengurangkan kos, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI