Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, SJKT Ladang Byram raih penarafan lima bintang

Admin
c986fcfb 9d8f 415a 915e 56d94178b1ef MAJLIS Penyampaian Anugerah Program Amalan 3R (Reduce, Reuse and Recycle), Anugerah Pemakanan Sihat, Makan Sampai Habis dan Pengkomposan bagi Sekolah-sekolah di Seberang Perai bagi sesi 2025–2026, yang berlangsung di Auditorium, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 14 Oktober 2026.

SEBERANG JAYA – Kolej Tingkatan Enam Desa Murni muncul antara lima sekolah menengah yang menerima penarafan lima bintang bagi Anugerah Pemakanan Sihat, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram turut menerima pengiktirafan sama dalam kategori sekolah rendah, bersama enam sekolah lain.

Pengiktirafan itu disampaikan menerusi Majlis Penyampaian Anugerah Program Amalan 3R (Reduce, Reuse and Recycle), Anugerah Pemakanan Sihat, Makan Sampai Habis dan Pengkomposan bagi Sekolah-sekolah di Seberang Perai bagi sesi 2025–2026.

210b4125 4f6c 4ed4 be81 9bb9b865c870
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye, ketika berucap pada majlis tersebut menegaskan bahawa program yang menggabungkan amalan 3R, pemakanan sihat, pengurangan pembaziran makanan dan pengkomposan mempunyai kaitan langsung dengan kesejahteraan masyarakat serta kelestarian bandar.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, kesihatan dan kesejahteraan serta penggunaan sumber secara bertanggungjawab, selaras dengan visi Penang2030 dan aspirasi Malaysia MADANI.

Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, turut menekankan kepentingan pendidikan kelestarian pada peringkat sekolah sebagai asas membentuk generasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Melalui pendekatan makan sampai habis, pelajar dididik supaya mengambil makanan mengikut keperluan serta menghargai hidangan yang disediakan,” katanya pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Menara Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini, pada 14 Oktober 2026.

Beliau turut berharap pihak sekolah dapat membendung pembaziran makanan serta memberikan pendedahan kepada murid untuk menyertai aktiviti pemuliharaan alam sekitar mengikut kemampuan masing-masing bagi memupuk rasa tanggungjawab terhadap ekosistem.

Mengulas mengenai pengurusan sisa dan kebersihan awam, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), terus mempergiat usaha memperkukuh kempen pengasingan sisa di punca, program kitar semula dan penguatkuasaan.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sebagai langkah mendidik pesalah yang membuang sampah merata-rata.

Menurut beliau, pelaksanaan PKM oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menunjukkan perkembangan positif apabila pesalah pertama mula menjalani khidmat mengutip sampah selama dua jam seminggu, daripada keseluruhan hukuman lapan jam, sejak 26 September lalu.

Walau bagaimanapun, beliau menggesa MBSP supaya mempercepat proses pengendalian kes berkaitan PKM di kawasan pentadbirannya memandangkan belum ada kes yang dibawa ke mahkamah.

“Matlamat kita bukan semata-mata untuk mengenakan hukuman, tetapi untuk membentuk sikap yang lebih bertanggungjawab agar kebersihan dan kelestarian alam sekitar dapat dipelihara secara berterusan demi generasi yang akan datang,” tegasnya.

Turut berucap pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid, dan Pengurus Cawangan OCBC Bukit Mertajam, Edmund Khoo Kar Heng.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Perbendaharaan MBSP merangkap Pengarah Majlis Penyampaian Anugerah Program, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (Kesihatan Awam), Dr. Rozaini Mat Shah; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan), Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Zuhaida Harun; Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Shukri Idris; Presiden Dewan Perniagaan Muda Antarabangsa (JCI) Batu Kawan, David Chew; serta Ketua Pegawai Operasi Hospital Columbia Asia, Joshua Cheng.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD