SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menambah satu lagi kejayaan apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun ini.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata pemilihan MBSP sebagai penerima anugerah tersebut adalah berdasarkan komitmen tinggi dan sumbangan berterusan dalam menjaga kebajikan serta keprihatinan terhadap kakitangan.
“Selain itu, hubungan yang erat dan harmoni dengan kesatuan sekerja di peringkat dalaman turut menjadi asas kepada pengiktirafan ini.
“Sebagai simbol penghargaan, MBSP telah menerima wang tunai berjumlah RM1,500 berserta sijil penghargaan dan piala kemenangan,” katanya semasa mempengersusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kalu ke-611 Bil. 5/2025 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Baderul Amin berkata, anugerah berprestij tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dalam satu majlis yang berlangsung pada 2 Mei 2025 di Kuala Lumpur.
“Bagi pihak MBSP, saya telah berkesempatan menerima anugerah tersebut dalam majlis yang turut disaksikan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato’ Dr. Adnan Mat dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga MBSP atas pencapaian ini.
“Marilah kita terus kekalkan budaya kerja yang inklusif, sejahtera dan progresif serta menjadi contoh kepada pihak PBT lain di seluruh negara” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS