MBSP tubuh Bahagian Keselamatan dan Komuniti kawal pembuangan sampah haram

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menubuhkan Bahagian Keselamatan dan Komuniti (BKK) yang bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan termasuk mengawal pembuangan sampah secara haram.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, BKK yang ditubuhkan pada 1 September 2020 adalah terdiri daripada anggota-anggota polis bantuan dan direktorat penguatkuasaan MBSP.

“Antaranya, Unit Warden Trafik MBSP akan melakukan rondaan di jalanan dan menahan lori-lori sampah untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan mereka memiliki permit sah daripada MBSP.

“Sekiranya semakan mendapati lori sampah ini tidak memiliki permit pembuangan sampah yang sah, mereka boleh diambil tindakan mengikut perundangan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis MBSP dekat Menara Bandaraya, di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Mengulas lanjut, Rozali memaklumkan bahawa MBSP telah mengenal pasti kegiatan pembuangan sampah haram di kawasan terpencil dekat Batu Kawan iaitu dari sepanjang sungai sehingga ke Pulau Burung.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya telah melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit dan proses penyelidikan sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.

“MBSP beri amaran tegas kepada kontraktor-kontraktor pembuangan sampah termasuk yang melakukan kerja-kerja pembinaan atau naik taraf bangunan di Batu Kawan bahawa mereka tidak akan terlepas.

“Mereka akan dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati melakukan pembuangan sampah secara haram walaupun di kawasan terpencil.

“Malah, MBSP juga akan mengenakan tindakan tegas kepada pengilang-pengilang mengikut undang-undang sedia ada sekiranya sampah yang dibuang itu didapati datang dari kilang-kilang mereka,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD