MBPP keluar Permit Perniagaan Dari Rumah mulai 1 November ini

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mengeluarkan Permit Sementara Perniagaan Dari Rumah (Business From Home) bagi pengusaha yang menjalankan perniagaan berskala kecil di rumah kediaman mulai 1 November ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, hanya warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas layak memohon dan diberi permit dengan kadar bayaran RM10 bagi tempoh 1 November 2020 hingga 31 Disember 2021.

Jelas beliau, permit tersebut tidak boleh disewakan atau dipajakkecil (Dialibabakan) kepada warganegara asing dan pemohon mestilah menjalankan perniagaan di rumah kediaman yang didudukinya sendiri.

“Peniaga-peniaga kecil yang sedang menggunakan rumah kediaman bagi menjalankan perniagaan berskala kecil, tidak berisiko dan tidak menimbulkan kacau ganggu boleh memohon dan ia tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat pelesenan yang ditetapkan.

“Dan, yang paling utama pemohon yang terlibat dengan pengendalian dan penyediaan makanan diwajib mendapatkan suntikan pelalian taifoid dan hendaklah menghadiri kursus pendidikan kesihatan yang ditetapkan oleh Majlis,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis pagi tadi.

Hadir sama Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif berkenaan yang dilihat mampu membantu peniaga-peniaga kecil memperoleh sumber pendapatan tambahan, Tung Seang memaklumkan bahawa ia untuk memberi kemudahan kepada mereka berniaga secara sah.

“Walau bagaimanapun, Majlis boleh mengenakan syarat-syarat tambahan pelesenan dari semasa ke semasa dan menarik balik serta membatalkan permit sementara berkenaan sekiranya didapati pengusaha telah melanggar mana-mana syarat ditetapkan sepertimana kuasa yang diberi di bawah peruntukan Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” tambah beliau.

Sebarang pertanyaan sila hubungi talian Bahagian Pelesenan MBPP di talian 04-263 881 atau rujuk di laman sesawang www.mbpp.gov.my.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: LAW SUUN TING