MBSP, UiTM meterai MoU berkaitan pembangunan eko pelancongan Seberang Perai

Admin
SR. Rozali Mohamud (duduk, kiri) dan Ts. Dr. Salmiah Kasolang (duduk, kanan) semasa sesi menandatangan MoU berkaitan di Menara Bandaraya MBSP pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang bagi tempoh tiga tahun sehingga 11 Oktober 2024 bagi meneroka peluang bersama dalam sektor ekopelancongan.

SR. Rozali Mohamud semasa sesi ucapan di Dewan Kenanga pagi ini.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa kolaborasi tersebut adalah untuk membangunkan salah satu subsektor berkaitan seperti mewujudkan ‘wetland’ dari sumber alam semula jadi; penghasilan produk jerami padi bagi tujuan menggalakkan; serta kemajuan teknologi hijau dan sebagainya.

“MoU ini selaras dengan aspirasi Seberang Perai dalam mencapai Bandar Karbon Rendah menjelang tahun 2022 dan Visi MBSP iaitu Seberang Perai Resilient, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Bandar Pintar Dipacu oleh Teknologi,” jelasnya di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 11 Oktober 2021.

Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ts. Dr. Salmiah Kasolang sendiri hadir untuk menandatangan MoU tersebut.

Turut menyaksikan, Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Profesor Madya ChM Nor Aziyah Bakhari (Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTM Cawangan Pulau Pinang); Ts. Dr Mohd Rozaiman Aziz (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar) dan Profesor Madya Dr Hashim Fadzil Ariffin (Ketua Pusat Pengajian bagi Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM).

Menurut Rozali lagi, pihaknya berharap kolaborasi kedua-dua pihak tersebut akan membolehkan MBSP menjana idea kreatif dan inovatif, seterusnya dapat dimantapkan dengan kepakaran dan ilmu daripada pihak UiTM.

Untuk rekod, MBSP dan UiTM pada tahun 2016 dan 2018 pernah berkolaborasi bagi pelaksanaan Seberang Perai International Conference On Eco Tourism and Conservation (SPICEC).

Pada 15 September lepas, Rozali memberitahu bahawa UiTM Cawangan Pulau Pinang menjemput MBSP sebagai pembentang jemputan dalam International Joint Conference on Hospitality and Tourism-2021 (IJCHT-21) bagi berkongsi pengalaman serta amalan terbaik di Seberang Perai.

“Jalinan kerjasama yang dimeterai pada hari ini dapat memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengadakan usaha sama dalam bidang penganjuran persidangan, seminar dan bengkel; penyelidikan, penerbitan dan perundingan; penganjuran aktiviti kemasyarakatan, sukarelawan dan penjagaan alam sekitar; serta latihan industri pelajar,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP