MC diseru ambil tawaran perkongsian kos cat semula premis

PANTAI JEREJAK – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyeru perbadanan pengurusan (MC) rumah-rumah pangsa yang dimajukan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) supaya mengambil tawaran perkongsian kos disediakan pihak berkaitan dan Kerajaan Negeri dalam usaha pengecatan semula premis bangunan masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak menyatakan bahawa inisiatif tersebut merupakan kaedah dan saluran terbaik untuk MC berganding bahu dengan PDC dan Kerajaan Negeri bagi memiliki premis yang lebih selesa dan cantik.

“Ini kerana, nilai pasaran unit-unit bangunan berimej dan berwajah baru selepas dicat semula akan terus meningkat yang mana telah dibuktikan bagi projek-projek perumahan PDC lain yang mengalami proses sama,” katanya pada Majlis Penyerahan Rasmi Penyiapan Kerja-kerja Pengecatan Semula Blok 1, Jalan Tengah, Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid memberitahu bahawa projek tersebut yang merangkumi 14 slab block (lima tingkat) dan tiga point block (12 tingkat) adalah lebih istimewa ekoran turut memperoleh bantuan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

“Iaitu, polisi pengecatan adalah berdasarkan perkongsian 80/10/10 yang mana pihak MC hanya perlu menanggung kos 10 peratus sahaja, manakala baki 10 peratus lagi akan dibayar oleh Kerajaan Negeri.

“Bagi Blok 1 ini, kos keseluruhan kerja pengecatan semula adalah berjumlah RM139,000. PDC telah menanggung 80 peratus kos berjumlah RM111,200, baki bahagian 20 peratus adalah masing-masing dikongsi antara MC dan Kerajaan Negeri sebanyak RM13,900.

“Kerja-kerja pengecatan semula blok telah bermula 5 Mac lalu dan siap sepenuhnya pada 4 Mei lalu, iaitu mengambil tempoh pelaksanaan selama dua bulan,” jelas beliau sambil menyatakan bahawa projek tersebut merupakan yang ke-sembilan siap dilaksanakan PDC melalui kaedah perkongsian berkaitan.

Projek perumahan Blok 1, Jalan Tengah, Bayan Baru dibina pada 1985 dan merupakan bangunan 12 tingkat dengan 119 unit kediaman. Sebagai pematuhan kepada kehendak Akta Hakmilik Strata 1985, projek tersebut diserahkan oleh PDC kepada MC Blok 1 untuk tujuan pengurusan dan penyelenggaraan mulai 26 Mac 2005.