Masyarakat terbaik asuh generasi hafal Al-Quran sejak kecil – TKMI

BERTAM – Enam penghafaz 30 juzuk Al- Quran dipilih menerima Anugerah Hafiz dalam pelbagai kategori pada Majlis Ijtimak Al-Huffaz Peringkat Negeri 2015 di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon memberitahu bahawa inisiatif penghargaan kepada golongan Huffaz diteruskan sejak tahun 2008 sebagai kelangsungan kepada agenda memartabatkan Islam di
negeri ini.

“Masyarakat akan menjadi bertambah baik, apabila generasi muda kita diasuh sejak kecil secara seimbang untuk cemerlang dalam akademik serta mampu menghafal Al-Quran.

“Sesungguhnya majlis penghargaan kepada Huffaz yang diadakan tiap-tiap tahun ini sebagai salah satu lagi komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan maksud sebenar Al-Islam Rahmatun Lil ‘Alamin (Islam Rahmat Untuk Sekalian Alam) di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga ADUN Pantai Jerejak pada majlis yang diadakan di Masjid Abdullah Fahim di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim turut berucap pada majlis tersebut, sebelum acara perasmian yang disempurnakan sendiri oleh Yang di- Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, ADUN Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man, Datuk Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Negeri) dan Dato’ Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP).

Muhammad Haddad Syazili Osman, 12, dipilih menerima Anugerah Hafiz Termuda atas kejayaannya menghafal 30 juzuk pada tahun 2015 di Madrasah Darul Ulum Al-Hashimiyyah dekat Padang Tembak, Air Itam.

Empat penerima anugerah lain adalah Ustaz Zolkornain Tan untuk kategori Guru Al-Hafiz, diikuti, Basirah Ahmad (Anugerah Keluarga Al-Hafiz), Abdul Malik Jee @ Baharom (Anugerah Khas Al-Hafiz) dan Tuan Guru Ustaz Hamzah Jaafar iaitu Guru ‘Sekolah Pondok Padang Lalang’ (Anugerah Tokoh Al- Hafiz).

Manakala, Madrasah Miftahul Irfan di bawah Mudir, Shamsudeen Mohamed Hasan di Balik Pulau dipilih menerima Anugerah Maahad Tahfiz Terbaik.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri pada pertengahan bulan Julai lalu menyumbang bantuan khas kewangan sebanyak RM596,200 kepada 2,059 guru agama, termasuk 170 guru tahfiz demi merealisasikan maksud Al-Islam Rahmatun Lil ‘Alamin di Pulau Pinang.