Melanie mahu jadi partisipasi demokrasi

BELIAU memainkan peranan yang penting di sebalik program Pesta Demokrasi Tempatan 2013 selama hampir dua bulan bermula pada 5 Oktober lepas hingga 15 Disember depan.

Beliau bagaikan tulang belakang bagi badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Pulau Pinang dalam menganjurkan festival kali ini.

Bermacam – macam program dianjurkan, antaranya, perasmian pembukaan Busking pada 5 Oktober di perkarangan Padang Kota Lama, bersama Sejarahwan tempatan, Datuk Anwar Fazal mengadakan Lawatan Demokrasi Tempatan (12 Oktober).

Selain itu, Bengkel Pembikinan Video turut diadakan pada 26 dan 27 Oktober, Bengkel Komuniti (9 Oktober di Seberang Perai dan 23 November di Pulau).

Pada 29 November, akan diadakan Kem Aktivisme Kreatif, disusuli, program Parlimen Muda pada 13 hingga 15 Disember.

Bersempena penganjuran kali ini, wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB sempat menemuramah dengan lebih dekat personaliti yang dimaksudkan, iaitu Melanie Yong Wern Ling, 24.

Melanie merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik. Beliau berkata, keluarganya datang dari kelas menengah.

“Saya datang dari kelas menengah, keluarga saya tidak susah dan tidak senang,” ujar beliau baru-baru ini.

Gadis berjiwa aktivis ini sebenarnya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan major pengajian dalam media dan penyiaran, serta, minor dalam perhubungan antarabangsa.

Namun, beliau mengakui sangat selesa bekerja sebagai Koordinator SUARAM Pulau Pinang.

“Adalah segelintir pensyarah di USM, dalam bilik kuliah pun selalu buat kita fikir sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Dari situ, saya mengikuti program SUARAM apabila ada masa lapang, saya berkawan dengan aktivis-aktivis SUARAM.

“Semasa saya hampir habis pengajian di Universiti, saya hadiri temuduga dan dipilih menyertai SUARAM di Pulau Pinang mengantikan Hui Fei (bekas Koordinator SUARAM Pulau Pinang).

“Sebelum ini, saya tidak pernah terlibat secara langsung dengan kerja-kerja NGO. Maka, ini sesuatu yang cukup baru dan saya belajar dan mula menimba pengalaman.

“Saya sangat selesa bekerja di sini kerana saya diberikan autonomi untuk merancang dan mengadakan program-program aktivisme di sini.

“Dari segi masa, cukup anjal (sekaligus,) membolehkan saya menguruskan program-program seperti Pesta Demokrasi Tempatan 2013, sekarang,” ujar beliau lagi.

Demokrasi Tempatan

Ditanya mengenai konotasi domokrasi tempatan, Melanie berkata, maksudnya sangat luas.

Baginya, demokrasi tempatan bukan sekadar merealisasikan impian rakyat untuk mengembalikan semula pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, meliputi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semata-mata.

Malah, katanya lagi, masih banyak lagi perlu dilakukan untuk mewujudkan demokrasi tempatan yang subur lagi hakiki.

“Ideanya adalah untuk memberi kesedaran kepada tiap-tiap orang untuk bersuara, terutama sekali dalam membuat keputusan yang membabitkan tempat tinggal penduduk di negeri ini sendiri.

“Pesta ini sangat setempat, sebab itu dinamakan Pesta Demokrasi Tempatan.

“Kita selalu bersuara dalam isu nasional sahaja. Apabila membuat satu-satu keputusan pun, selalunya bersifat nasional melalui pengundian calon Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Kita tidak pernah mengundi untuk seorang Ahli Majlis Kerajaan Tempatan sebab hak itu telah diambil balik dan dihalang oleh Kerajaan Pusat, walaupun Kerajaan Negeri ada komitmen untuk mewujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

“Jadi, kita cuba menggandakan tekanan kepada pihak berwajib supaya demokrasi tempatan kembali subur.

“Demokrasi tempatan ini juga perlu kerana tanpa kesedaran ini, satu-satu komuniti tidak akan hidup untuk pelbagai tanggungjawab setempat seperti keselamatan, kebersihan, kehijauan, kemajuan dan sebagainya,” ujarnya.

Partisipasi Demokrasi

Tanpa demokrasi tempatan, Melanie berkata, partisipasi demokrasi dalam kalangan komuniti akan lemah.

“Dulu, semasa pilihan raya kerajaan tempatan masih dilaksanakan, setiap program pemajuan yang nak dilaksanakan oleh PBT (pihak berkuasa tempatan) akan melalui perundingan secara langsung dengan penduduk di kawasan-kawasan yang dicadangkan.

“Tetapi, sekarang, perbincangan itu hanya membabitkan Ahli Majlis dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup PBT sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, pengenalan GRB (Bajet Responsif Gender) oleh Penang’s Women Development Corporation (PWDC), iaitu belanjawan tempatan dibuat dengan mengambil kira keperluan gender setempat terlebih dahulu adalah suatu permulaan yang baik.

“Apabila kami (SUARAM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri membawa peserta menyertai Lawatan Demokrasi Tempatan umpamanya, mereka boleh melihat keperluan partisipasi demokrasi dalam perbandaran di negeri ini,” ujar beliau.

Cabaran dan Harapan

Melalui Pesta Demokrasi Tempatan, Melanie mengaku menerima kenalan yang ramai daripada mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan SUARAM.

“Ramai persahabatan dilahirkan dari pesta ini… tapi, cabarannya, kita tidak mempunyai banyak sumber dana untuk membuat publisiti yang besar ke seluruh negeri.

Publisiti kita (SUARAM) tidak menyeluruh sampai ke Seberang Perai, lebih menumpu pada pulau. Ini cabarannya apabila kurang sumber dana dan tenaga kerja,” ujar beliau.

Sungguhpun kerja di SUARAM ini agak sedikir mencabar, Melanie berkata, beliau berpeluang mengembara dan menimba banyak pengalaman menerusi dunia aktivisme.

“Contohnya, saya berpeluang pergi ke Raub, Pahang, suatu tempat yang tidak pernah saya pergi kerana menyertai aktivisme Himpunan Hijau sebelum ini.

“Kedua, saya boleh berjumpa ramai orang yang boleh menjadi inspirasi kepada saya.

“Peluang bekerja di SUARAM, termasuk menganjurkan Pesta Demokrasi Tempatan sekarang adalah sangat istimewa dan unik. Saya rasa saya tidak berpeluang lagi mendapat pengalaman seumpama ini di tempat kerja yang lain.

“Tukar kerajaan sahaja sebenarnya tidak memadai, kita perlu tukar cara berfikir kita melalui program Pesta Demokrasi Tempatan,” ujar beliau.