1,200 sertai Walk for Sight & Sound 2013

Oleh: MARK JAMES


GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey berkata, infrastruktur bandar George Town
wajar terus mengambil kira aspek mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata demikian semasa menyertai program amal Walk for Sight & Sound 2013 bersama-sama 1,200 peserta lain berjalan sejauh 3.8 kilometer dari Taman Perbandaran ke Taman Kebun Bunga, di sini.

“Bandar kita seharusnya direka bentuk untuk memenuhi keperluan semua terutamanya memasuki keperluan golongan OKU, itulah yang Kerajaan Negeri inginkan untuk rakyat Pulau Pinang.

“Jadi, beritahulah kami lokasi yang perlu diberi tumpuan kemudahan OKU dan galakkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyediakan kemudahan itu,” ujar beliau baru-baru ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Abdul Rahman Abbas sendiri bersamasama St.George’s Girls School Band mengetuai perarakan tersebut yang bermula seawal jam 7.00 pagi.

Hadir bersama, Presiden Lions Club of Georgetown Perdana, Melissa Oh.

Soo Huey berkata, inisiatif Lions Club selaku penganjur wajar dipuji kerana berjaya mengumpulkan sumbangan amal sebanyak RM30,000, selain, meningkatkan kesedaran mengenai cabaran orang buta mengharungi kehidupan tanpa penglihatan.

Sebelum itu, Melissa Oh berharap model berjalan sambil menutup mata peserta masing-masing dapat menimbulkan rasa prihatin kepada golongan OKU buta.

“Saya berasa gembira seramai 1,200 peserta telah muncul mengambil bahagian, walaupun cuaca tidak sebegitu bagus untuk tujuan yang mulia.

“Saya rasa selepas berjalan dengan mata ditutup, kita mendapati bahawa orang buta mempunyai cabaran melakukan aktiviti seharian
yang senang untuk yang tidak buta.

“Kerja amal tidaklah susah. Kepada yang memerlukannya apa-apa sahaja yang boleh, tetapi, yang paling pentingnya berikan mereka masa kerana itulah yang mereka paling hargai,” ujar Melissa Oh.

Walk for Sight & Sound 2013 dianjurkan tiap-tiap tahun sejak lima tahun lepas oleh Lions Club dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri, MPPP dan Majlis Sukan Negeri (MSN).