Menteri seru tubuh pasukan sukarelawan Bomba di peringkat KADUN

Admin

PENANTI – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berharap pasukan sukarelawan Bomba dapat ditubuhkan di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) sebagai persiapan menghadapi bencana di peringkat komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti pada 4 Januari 2019 di sini.

“Dengan adanya balai bomba Bomba di kawasan ini, ia akan memudahkan lagi rakyat di kawasan ini untuk mendapatkan bantuan ketika berlaku bencana.

“Saya juga berharap lebih banyak lagi pasukan sukarelawan Bomba dibentuk, saya berharap Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Exco-Exco Kerajaan Negeri dapat bantu menubuhkan pasukan sukarelawan Bomba di kawasan masing-masing,” jelasnya sambil menyeru rakyat supaya menghargai pengorbanan anggota bomba dalam menangani bencana di tanah air ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid turut berucap dalam majlis rasmi itu.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Bomba, Yang Amat Setia Datuk Saimon Jahid dan Pengarah Jabatan Bomba Negeri, Yang Setia Saadon Mokhtar.

Majlis perasmian pembukaan balai bomba tersebut dimeriahkan dengan acara perbarisan serta demontrasi anggota bomba dan menyelamat mangsa kemalangan jalan raya berisiko tinggi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS