Penguatkuasaan lebih ketat terhadap kenderaan berat lebih muatan, penggunaan tayar celup – Baru Bian

BARU Bian (duduk dua dari kiri) ketika menjawab soalan media di LLM Wilayah Utara hari ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BATU UBAN – Kes kemalangan melibatkan kenderaan berat lebih muatan dan penggunaan tayar celup tidak dipandang ringan, sebaliknya Kementerian Kerja Raya (KKR) bakal menjalankan penguatkuasaan lebih ketat terhadap perkara berkaitan. 

Perkara tersebut dinyatakan Menterinya, Baru Bian pada satu sidang media bersempena lawatan kerja beliau ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara di sini 4 Januari lalu.

Menurut Baru Bian, pihaknya bakal bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas kesalahan-kesalahan tersebut.

“Berdasarkan taklimat keselamatan serta lalu lintas membabitkan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (Jambatan Kedua), cabaran dihadapi adalah lebih kepada isu kemalangan yang berlaku di atas kedua-dua jambatan tersebut.

“Malah, Kementerian memandang serius isu kenderaan berat lebih muatan yang menggunakan jambatan-jambatan ini setiap hari serta penggunaan tayar celup (oleh kenderaan-kenderaan berat tertentu) kerana sebarang kejadian yang berlaku ia bakal melibatkan keselamatan semua pengguna jalan raya lain,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Selangau, Sarawak.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye; ADUN Kebun Bunga, Ong Khan Lee; Ketua Pengarah LLM, Datuk Seri Aziz Abdullah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Shahabuddin Muhayidin.

Merujuk kepada statistik, Baru Bian memberitahu bahawa kemalangan yang berpunca daripada kenderaan berat lebih muatan dan penggunaan tayar celup adalah mencecah kira-kira 10,000 kes setahun di seluruh negara.

“Daripada statistik tersebut sekiranya dibahagikan, sebanyak 30 kes kemalangan dalam tempoh satu hari adalah berpunca daripada penggunaan tayar celup,” ujarnya lanjut.

Sebelum itu, delegasi Baru Bian dibawa ke Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua bagi meninjau keadaan aliran trafik membabitkan dua lokasi berkaitan lanjutan daripada pengumuman pemansuhan tol bagi laluan motosikal bermula 1 Januari lalu.