GEORGE TOWN – Masuk tahun ke-11 penganjuran Sidang Muda Pulau Pinang Tahun 2025 oleh agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) menerima penyertaan seramai 134 orang belia dalam sesi temu duga.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata trend peningkatan tersebut diharap bukan sahaja melambangkan minat serta keyakinan belia terhadap platform kepimpinan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri hari ini, malah sekali gus menunjukkan minat mereka pada politik dasar secara umum.
“Peningkatan minat dan penyertaan ini menunjukkan keyakinan belia terhadap platform pembangunan kepimpinan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
“Sidang Muda bukan sekadar sebuah program simulasi persidangan, sebaliknya ia adalah wadah yang memberi ruang kepada belia untuk mengasah pemikiran kritis, mengemukakan cadangan, dan menyuarakan isu yang dekat dengan hati mereka,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan amanat sempena Majlis Penutup Sidang Muda Pulau Pinang Tahun 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 23 November 2025.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze selaku pihak yang mengetuai jawatankuasa perombak modul serta PYDC atas usaha merangka semula modul persidangan berwajib.
“Program Sidang Muda Tahun 2025 telah dirangka semula kepada modul dan format program yang lebih komprehensif dengan merangkumi pelbagai siri program yang mendedahkan belia dengan perjalanan Dewan Undangan Negeri, proses penggubalan undang-undang dan pemahaman tentang sistem pentadbiran kerajaan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Lalang sambil merakamkan penghargaan kepada Timbalan Speaker DUN, Dato’ Azrul Mahathir Aziz kerana mengemudi persidangan Sidang Muda Pulau Pinang pada kali ini.
Azrul Mahathir yang juga ADUN Bayan Lepas turut berucap pada majlis tersebut.
Selain Syn Tze, hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta beberapa Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan, Muhammad Khairul Mohd Ali, Chan Soon Aun, Mohamed Khairani Abdul Shukor, Ooi Mei Mei dan Ooi Yong Wooi; dan Ahli Lembaga Pengarah PYDC Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Teluk Bahang merangkap Ahli Lembaga; Ahmad Zaki Shah Shah Headan; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar; Timbalan Pengurus Besar PYDC, Ong Ching Shi; Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Pulau Pinang, Khairul Fadzreen Khairuddin; dan Exco Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Athirah Sahira.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB