Monorail, 20,000 rumah sudah pun dijanjikan dahulu – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menegaskan bahawa pengundi Pulau Pinang tidak akan kagum dengan janji berkembar Perdana Menteri untuk membina monorail dan 20,000 unit perumahan mampu milik hanya jika Barisan Nasional (BN) menawan balik negeri ini.

Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa ia jelas adalah percubaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membeli undi dan mendedahkan kegagalan BN untuk menetapi janji dahulu.

“Pertama, janji-janji seperti ini adalah di bawah naungan kuasa kerajaan persekutuan dan ia merupakan tanggungjawab awam untuk menyediakan perumahan awam dan pengangkutan awam daripada kutipan cukai yang diterima, termasuk daripada rakyat Pulau Pinang.

“Kedua, janji-janji ini bukan janji baru kerana ia sudah pun dijanjikan dahulu, khususnya oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri semasa Tahun Baru Cina 2006,’’ katanya dalam satu kenyataan media di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, sekiranya BN telah gagal memenuhi janji untuk membina monorail apabila mereka berkuasa di peringkat persekutuan
serta negeri pada tahun 2007, apakah jaminan bahawa BN akan menepati janji mereka jika mereka berjaya menawan balik Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Malah dalam penyediaan perumahan mampu milik, BN telah gagal dengan teruk.

“Pada tahun 1984, kerajaan BN telah memperoleh 330 ekar tanah di Bertam, Kepala Batas pada harga RM5.1 juta untuk Kementerian Pertahanan dengan janji membina perumahan bagi keluarga-keluarga kakitangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“28 tahun kemudian, janji tinggal janji dan kawasan tersebut telah menjadi ladang kelapa sawit yang disewa kepada syarikat kroni BN pada harga rendah RM7,000 sahaja dan bukan perumahan mampu milik seperti dijanjikan,’’ tegasnya.

Katanya, tindakan Najib untuk memberi janji bersyarat bagi membina hanya jika BN menang kuasa menunjukkan bahawa beliau tidak bertindak sebagai Perdana Menteri untuk semua tetapi sebagai Perdana Menteri untuk BN.

“Penetapan syarat ke atas janji-janji ini mendedahkan bahawa beliau (Najib) tidak menghormati hak demokratik rakyat untuk memilih wakil rakyat dengan bebas tanpa ugutan atau sogokan.

“Ini merupakan satu lagi kes “you help me, I help you” yang disebut oleh Najib semasa pilihanraya kecil Sibu yang telah ditolak oleh pengundi Sibu,’’ ujarnya.

Sebaliknya, Guan Eng menyatakan bahawa Najib harus belajar daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menyelesaikan masalah berlarutan selama 27 tahun dialami 103 keluarga di Rumah Pangsa Mak Mandin di Butterworth baru-baru ini.

“103 keluarga terbabit telah mendiami Rumah Pangsa Mak Mandin pada tahun 1985 dan dijanjikan rumah kos rendah sebagai ganti oleh Kerajaan Negeri BN. Seperti janji-janji BN yang lain, ia tidak ditunaikan sejak 1985.

“Ramai daripada 103 keluarga itu telah membayar penuh harga rumah kos rendah. Sejumlah RM1,160,899 telah dibayar oleh kebanyakan 103 keluarga tersebut.

Baru-baru ini, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menyelesaikan kemelut 27 tahun itu dengan memberi bukan sahaja 103 unit secara ercuma, tetapi mengembalikan dengan penuh duit yang telah dibayar kepada Kerajaan Negeri untuk pembelian rumah kos rendah.

“Dalam kata lain, Kerajaan Negeri tidak menetapkan syarat kepada 103 keluarga tersebut bahawa rumah dan wang hanya akan diberi jika PR memenangi Pilihanraya Umum yang akan datang. Sebaliknya, tidak kira sama ada PR menang atau kalah, 103 keluarga tersebut akan mendapat rumah percuma dan wang mereka kembali,’’ kata beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan BN harus malu kerana gagal membina perumahan mampu milik yang mencukupi di Pulau Pinang.

“Hanya 70 Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah sewa akan dibina di Pulau Pinang oleh kerajaan persekutuan, iaitu jumlah yang paling kecil di antara semua negeri di Malaysia.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri PR menawarkan dua ekar tanah primer di Jalan S.P. Chelliah bagi pembinaan PPR pada awal Ogos tahun ini, tetapi tidak menerima maklumbalas daripada pihak berkenaan.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah pun memutuskan untuk membina 300 unit rumah mampu milik bagi masyarakat Melayu Bumiputera dengan menggunakan Tabung Bumiputera Pulau Pinang,” ujarnya.

MONORAIL (Gambar hiasan).
MONORAIL (Gambar hiasan).