IPOH, PERAK – Sebagaimana dirancang, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Konsortium PKNPk-Gamuda bagi projek pembekalan air terawat pukal.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan termeterainya MoU itu, ia bakal membolehkan Pulau Pinang membeli sekurang-kurangnya 300 juta liter air terawat sehari daripada negeri Perak mulai tahun 2031.
“Secara keseluruhan, MoU ini akan memberi Pulau Pinang akses kepada sumber air utama kedua yang amat penting bagi memenuhi keperluan jangka panjang negeri.
“Justeru, kerjasama strategik dengan negeri Perak ini adalah amat penting bagi menjamin kelestarian bekalan air jangka panjang serta kesejahteraan rakyat,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam majlis berkaitan di sini pada 6 November 2025.
Di samping itu, beliau yang juga Pengerusi PBAPP turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Perdana Menteri; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kerajaan Negeri Perak; PKNPk dan Gamuda Berhad atas komitmen bersama dalam menjayakan rundingan berkenaan.
Difahamkan, selama kira-kira lima dekad Pulau Pinang bergantung kepada satu-satunya sumber air mentah utama dari Sungai Dua, melalui Skim Air Sungai Muda yang dimeterai pada tahun 1973.
Kon Yeow, pada tahun 2022 telah menyatakan janji untuk merealisasikan Projek Air Perak – Pulau Pinang demi memastikan kelestarian dan bekalan air termasuk usaha memperbaiki proses penyampaian air ke kawasan kejiranan hujung paip agihan (EoL) sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) untuk generasi akan datang.
Dengan termeterai MoU pada hari ini, difahamkan bahawa ia bukan sahaja membolehkan Pulau Pinang akses kepada sumber air utama kedua yang amat penting bagi memenuhi keperluan jangka panjang negeri, malah sekali gus sejajar dengan Pelan Halatuju Transformasi 2040 (Air 2040) yang digagaskan peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Y.A.B. Dato’ Seri Saarani Mohamad semasa berucap antara lain berharap kerjasama erat antara dua negeri berjiran ini berjaya mewujudkan industri air terawat yang mencukupi, serta membina keyakinan pelabur terhadap projek berkepentingan bersama iaitu Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Selepas itu, Kon Yeow bersama-sama Saarani menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan memeterai MoU bersama-sama Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Eksekutif Gamuda Berhad, Datuk Azmi Mat Nor.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Wan Nor Sakina Saad antara pemimpin Pulau Pinang yang turut menyaksikan perjanjian bersejarah tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : LAW SUUN TING