PENGKALAN KOTA – Ahli Parlimen (MP) Tanjong, Lim Hui Ying menyeru semua sekolah di negeri ini khasnya di Parlimen Tanjong supaya mula mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan diraikan tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Tanjong yang diadakan di Dewan Li Tek Seah, Lintang Macallum di sini hari ini.

Menurut beliau, Jalur Gemilang harus dikibarkan dengan perasaan bangga, sebagai simbol pengharapan dan kebertanggungjawaban generasi muda dalam menjunjung semangat cintakan negara.
Kibaran Jalur Gemilang bukan sahaja sarat dengan nilai simbolik malahan membawa makna besar dalam menjunjung nilai cintakan negara.
“Bersempena Bulan Kemerdekaan kali ini, Pusat Khidmat Tanjong telah mengagihkan 1,600 Jalur Gemilang untuk digantung di 21 buah sekolah, selain 6,000 bendera tangan kepada para pelajar,” ujar Timbalan Menteri Kewangan itu lagi.

Pada majlis sama turut diadakan adalah penyerahan insentif kecemerlangan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 2024.
Difahamkan, seramai 28 pelajar cemerlang STPM dari kawasan Parlimen Tanjong diraikan, termasuk dua pelajar yang memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, masing-masing dari Kolej Tingkatan Enam Hutchings dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor Perempuan.
Sebagai tanda penghargaan, Hui Ying memperuntukkan RM10,600 bagi insentif kecemerlangan STPM, melambangkan pengiktirafan terhadap usaha, pengorbanan dan kerja keras para pelajar.

“Kerajaan MADANI beriltizam memastikan generasi pelajar hari ini membesar dalam suasana yang lebih baik dengan sistem pendidikan progresif, ekonomi mampan dan peluang sama rata untuk mengejar impian,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Zawawi Ahmad; barisan Timbalan Pejabat Pendidikan Daedah, guru-guru dan murid-murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Tek A, SJKC Li Tek B, SJKC Li Tek Cawangan waris pelajar.
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: SIEW CHIA EN