MPKK Simpang Empat juara peringkat Daerah Barat Daya

Admin
ACARA penyampaian replika cek kepada juara Anugerah MPKK 2020 Peringkat Daerah Barat Daya di sini pada pagi tadi.

BAYAN LEPAS – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat dipilih sebagai juara bagi Anugerah MPKK 2020 Peringkat Daerah Barat Daya di sini pada pagi tadi.

Sementara, MPKK Bukit Gedung dan MPKK Gertak Sanggul masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dalam saingan hebat melibatkan kesemua 59 jawatankuasa peringkat lokal bagi daerah berkenaan.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bahawa paling penting adalah MPKK menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat dalam pelbagai peringkat dengan pucuk pimpinan negeri.

Justeru, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti mengingatkan tiap-tiap anggota MPKK yang dilantik supaya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ke arah menjana sokongan komuniti rakyat terhadap Kerajaan Negeri pada hari ini.

“MPKK adalah platform untuk merapatkan jurang antara pentadbiran Kerajaan Negeri dan masyarakat.

“Oleh itu, penting bagi MPKK untuk menjalankan peranan mereka dengan cara yang betul,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal dalam majlis yang dilangsungkan di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas pada 1 Oktober 2020.

Turut serta, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga ADUN Batu Maung; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

Pengerusi MPKK Simpang Empat, Mohd Majdan Nut Jamudin yang ditemui kemudian menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan Kerajaan Negeri hari ini.

“Ini adalah usaha berpasukan dan penting bagi kita adalah untuk menilai kepentingan kerjasama antara anggota di peringkat MPKK.

“Disiplin, bertanggungjawab dan saling bekerjasama dalam satu pasukan adalah elemen penting untuk berjaya.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya untuk kerja berpasukan yang baik selama ini,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara.

Manakala, Pengerusi MPKK Bukit Gedung, Mohd Zaini Ahmad pula menganggap anugerah yang diterima sebagai kejayaan kerjasama secara berpasukan antara anggota MPKK dan komuniti lokal.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan MPKK saya kerana berusaha memberikan yang terbaik dalam tugas mereka.

“Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan setiap profil pentadbiran MPKK dan penglibatan masyarakat dalam program yang diatur,” ujar beliau.

Nada gembira turut dizahirkan oleh Pengerusi MPKK Gertak Sanggul, Leong Kein Cheong.

Menurutnya, pengiktirafan Kerajaan Negeri dalam bentuk pemberian anugerah tersebut akan membakar semangat anggota-anggota MPKK untuk terus menumpahkan khidmat bakti kepada komuniti di tempat masing-masing

Difahamkan, pemenang anugerah membawa pulang RM3,000, sementara naib juara kedua dan tempat ketiga masing-masing mendapat RM2,000 dan RM1,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI