MPPP kompaun peniaga haram

Admin
SALAH satu peniaga berlesen yang menjalankan perniagaan di Rope Walk.
SALAH satu peniaga berlesen yang menjalankan
perniagaan di Rope Walk.

GEORGE TOWN – Bertindak di atas maklumat awam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengeluarkan beberapa kompaun kepada penjaja haram di pasar pagi Lorong Kulit atau lebih dikenali Rope Walk oleh masyarakat tempatan di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut berkata, pihak MPPP terpaksa mengeluarkan kompaun RM50 kepada peniaga-peniaga tidak berlesan yang datang silih berganti terutamanya pada hujung minggu sehingga mengganggu laluan trafik di kawasan tersebut.

“Pada hujung minggu, bilangan peniaga tidak berlesen meningkat sekali ganda ekoran sambutan para pengunjung yang lebih menggalakkan pada tempoh berkenaan. Malah, apa yang menyusahkan adalah mereka (peniaga haram) kebiasaannya akan menjalankan perniagaan di luar kawasan pagar sehingga menghalang kenderaan melalui kawasan tersebut,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambah Ah Teong, seharusnya pihak bertanggungjawab juga menjalankan operasi dan siasatan mengenai pembekalan barangan lusuh yang dijual.

“Ini kerana, pihak MPPP hanya boleh mengeluarkan kompaun dan bukannya rampasan barangan,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa terdapat lebih kurang 400 peniaga berlesen yang menjalankan perniagaan di Rope Walk.