Syarikat digesa mohon maaf langgar proktokol Diraja

Admin
ONG Ah Teong menunjukkan banting Permaisuri Agong yang dipasang tanpa mematuhi proktokol Diraja oleh sebuah syarikat swasta di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong menunjukkan banting Permaisuri Agong yang dipasang tanpa mematuhi proktokol Diraja oleh sebuah syarikat swasta di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Sebuah syarikat pelaburan swasta yang bertanggungjawab dalam pemasangan banting tertera gambar Pemaisuri Agong digesa memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang ekoran ia didapati tidak mengikuti garis panduan proktokol Diraja ditetapkan.

Selain tidak menggunakan warna yang bersesuaian, pihak syarikat selaku penganjur program dihadiri Permaisuri Agong turut meletak serta memasang banting bersebelahan tandas dan juga kawasan pembuangan sampah. Malah, sejumlah 4,000 banting tambahan (selain 800 yang diluluskan) yang tidak memiliki kelulusan permit daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut digantung di seluruh negeri di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong menegaskan bahawa perbuatan tersebut (salah laku protokol penggantungan sepanduk dan penggunaan warna) sama sekali tidak boleh diterima kerana Bahagian Protokol Kerajaan Negeri telah memberi garis panduan kepada syarikat swasta terbabit sebelum kebenaran diberikan MPPP.

“Pada peringkat awal, MPPP telah meluluskan 800 banting yang telah dipohon syarikat swasta berkenaan dengan syarat ia dipasang pada kedudukan atas daripada paras pinggang. Lanjutan itu, disebabkan lokasi yang terhad, permohonan untuk pemasangan 4,000 banting tambahan telah ditolak pihak majlis.

“Bagaimanapun, syarikat terbabit tetap berdegil dan memasang banting tambahan tanpa permit di sini. Bagaimanapun, kita (MPPP) tidak akan menurunkan banting-banting tersebut kerana menghormati ketuanan Diraja. Sebaliknya kompaun RM250 akan dikenakan bagi setiap yang dipasang,’’ katanya pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.