MPPP peka, pusat hiburan tidak berlesen diserbu

GEORGE TOWN – Ketenteraman penduduk di Lebuh Campbell yang terganggu akibat bunyi bising sebuah pusat hiburan haram yang telah beroperasi dalam tempoh 10 tahun akhirnya berakhir apabila Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyerbu premis terbabit di sini baru-baru ini.

Jurucakap MPPP berkata, sebelum ini, pusat hiburan terbabit dianggap kebal apabila sering menghidu serbuan yang akan dijalankan oleh pihak penguatkuasa sehingga mampu bertahan (beroperasi) dalam tempoh yang begitu lama.

Operasi yang pada mulanya dirancangkan pada jam 3 pagi terpaksa ditukarkan ke jam 1 pagi. Kita (MPPP) tidak mahu sebarang kebocoran maklumat sekali lagi berlaku. Sebelum ini, pihak majlis pernah mengadakan operasi serbuan, namun, menemui kegagalan apabila setiap kali datang (serbuan), pastinya premis ditutup,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Serbuan tersebut dianggotai 20 anggota Unit Penguatkuasa MPPP yang diketui oleh Azizan Md. Desa, wakil dari Jabatan Perlesenan, Taufik Junik dan turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.

Katanya, MPPP bertanggungjawab menyelesaikan setiap aduan yang diterima, aspek kebocoran maklumat yang berlaku sebelum ini menyebabkan bahagian penguatkuasa lambat untuk bertindak dan bukannya MPPP tidak komited sebagaimana didakwa sesetengah pihak.

Tambah beliau, sebelum mengambil tindakan sedemikian, pihak majlis akan mengeluarkan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil MPPP mengikut Akta Pusat Hiburan yang boleh dikenakan kompaun sehingga RM20,000. 

BARANGAN tred di dalam premis diperiksa sebelum disita oleh Unit Penguatkuasa MPPP dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah pusat hiburan haram di Lebuh Campbell di sini baru-baru ini.
BARANGAN tred di dalam premis diperiksa sebelum disita oleh Unit Penguatkuasa MPPP dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah pusat hiburan haram di Lebuh Campbell di sini baru-baru ini.