Sudut bersantai untuk tingkat kualiti hidup rakyat

Oleh : ZULIANA AZIZ

NIBONG TEBAL – Para penghuni Rumah Pangsa di Jalan Chandra Sharif di sini menyambut baik usaha Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi dalam meningkatkan kualiti hidup mereka di rumah pangsa berkenaan.

Menurut Seang Hooi, satu sudut bersantai telah dibina khusus bagi kemudahan para penghuni beristirehat terutama pada hujung minggu dengan menggunakan peruntukkan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada beliau.

“Terdapat satu set kerusi dan meja terazo dan enam pasu bunga di ditanam dengan pelbagai jenis flora demi menjadikan tempat itu lebih ceria dan selamat. Malah, pagar dan pintu besi juga telah dibina semula,” ujar beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan perasmian sudut bersantai berkenaan baru-baru ini, Seang Hooi turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap para penghuni rumah-rumah pangsa.

“Walaupun Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat banyak menjalankan projek-projek mega, namun, nasib dan kebajikan rakyat biasa akan tetap menjadi keutamaan terpenting di negeri ini,” tambah beliau lagi.

Pada tahun lalu, setiap Ahli Majlis MPSP masing-masing diperuntukkan RM50,000 untuk projek-projek keindahan bandar sekaligus merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau dan bersih pertama di Malaysia.

TEOH Seang Hooi (duduk, dua dari kiri) beramah mesra dengan para penghuni rumah pangsa di Jalan Chandra Sharif selepas perasmian Sudut Bersantai di sini baru-baru ini.
TEOH Seang Hooi (duduk, dua dari kiri) beramah mesra dengan para penghuni rumah pangsa di Jalan Chandra Sharif selepas perasmian Sudut Bersantai di sini baru-baru ini.