MPSP, JCI pecah rekod MBOR kutip dua matrik tan sampah kitar semula

Admin

PERAI – Malaysia kini berada di tangga kelapan dalam senarai negara paling banyak membuang sampah ke laut dan situasi ini amat membimbangkan, ujar Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Beliau yang merupakan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, sebanyak 0.9 atau bersamaan 900,000 matrik tan plastik yang tidak dikitar semula telah dikutip setiap tahun di negara ini, yang mana daripada jumlah itu sebanyak 0.37 atau 370,000 matrik tan telah dialirkan ke laut.

“Jumlah ini bersamaan dengan beratan sampah yang dibawa ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung iaitu sebanyak 245,000 matrik tan setahun dan keadaan ini amat kritikal.

“Jika tidak diatasi, keadaan ini dibimbangi akan mengancam kehidupan laut pada masa akan datang,” ujarnya pada majlis penutup program ‘Clean Up The World’ 2018 bertempat di Auto City dekat Juru, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Naib Pengerusi Eksekutif Nasional Junior Chamber International (JCI), Chew Hooi Mei; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur JCI ‘Clean Up The World’ 2018, Vincent Tan Yeong Ming; Ketua-ketua Jabatan dan ramai lagi.

Turut berlangsung adalah program mewarna untuk kanak-kanak.

 

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan, sebanyak dua matrik tan sampah berjaya dikutip di lima kawasan di Seberang Perai dalam masa dua jam program itu berlangsung, sekaligus berjaya memecahkan rekod Malaysia Book Of Records (MBOR).

“Dua tan sampah yang berjaya dikutip ini adalah sampah yang boleh dikitar semula seperti plastik, botol, cawan, pembungkus makanan, kotak dan lain-lain.

“Pencapaian ini membanggakan kerana menggambarkan kerjasama yang padu daripada masyarakat yang turut bekerjasama membersihkan alam sekitar.

“Tapi dari sudut lain ia amat menyedihkan kerana jumlah ini menunjukkan bahawa masih ramai kalangan masyarakat kita pada hari ini gemar membuang sampah di merata-rata tempat,” ujarnya lagi.

Justeru, katanya, penganjuran program ‘Clean Up The World’ 2018 dengan kerjasama JCI amat bertepatan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya kanak-kanak agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

“MPSP serius dalam menguruskan sisa pepejal dengan sempurna dan telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam melaksanakan pengasingan sisa di punca.

“Diharapkan dengan program ini warga Seberang Perai akan lebih menghargai alam sekitar sebagai satu gaya hidup sihat sejajar dengan matlamat MPSP untuk menjadi bandar rendah karbon dan bandar pintar menjelang tahun 2022,” katanya lagi.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF