MPSP permudah syarat pembesaran premis

Oleh :WATAWA NATA F ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Pembesaran kilang di bawah 1,000 kaki persegi serta binaan tambahan bagi premis jenis kedai dan rumah di bawah 500 kaki persegi sahaja tidak perlu lagi memohon pelan kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd . Sharif bagaimanapun berkata, langkah itu demi memudahkan pelanggan khususnya warga Seberang Perai.

Bagaimanapun, jelas beliau, projek pembesaran premis mestilah berpandukan syarat-syarat yang telahpun ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“ Tidak perlu memohon kebenaran merancang lagi, cuma mereka hanya mengemukakan pelan bangunan.

“Namun syaratnya, bangunan asal mestilah sebuah premis yang sah dan bukannya tidak sah.

“Jikalau bangunan asal pun tidak sah, bagaimana MPSP hendak meluluskan penambahan baru,” ujarnya kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Majlis Bilangan 1/2015 Kali Ke-487) di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Majlis MPPP, Sr. Rozali Mohamud serta dua Ahli Majlis, Loh Joo Huat dan Zulkifli Ibrahim turut menyertai sidang media tersebut.

Tambah Maimunah, projek penambahan dan pembesaran premis mestilah merangkumi pembinaan berbumbung dan terbuka.

“ Walau bagaimanapun , penambahan tingkat kepada sesuatu premis dan bangunan masih tidak dibenarkan dan permohonan hanya boleh diluluskan sekali sahaja bagi setiap premis.

“Jika tidak, pemilik mungkin akan melakukan pembesaran dan penambahan berkali-kali selepas itu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, MPSP pada bulan Mac 2013 pernah memperkenalkan buku Garis Panduan Tambahan dan Pindaan Kecil Taman Perumahan yang boleh dibeli dengan harga RM150 sebuah, demi memudahkan proses permohonan mengubahsuai premis jenis rumah sahaja.

Buku panduan itu, antara lain, menyediakan syarat binaan tambahan, kaedah memohon dan menuntut cagaran berwajib RM750 serta format mengisi borang-borang permohonan berkaitan.