Tunda kereta, MPPP wujudkan tapak kedua di Tanjung Tokong

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

TANJONG TOKONG – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini mengumumkan pembukaan depoh simpanan (tapak tunda) baharu di Jalan Tanjung Tokong bagi menempatkan kenderaan ditunda oleh Unit Trafik (Penguatkuasa) pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit di sini.

Tapak tunda terletak bersebelahan Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal itu mula beroperasi sejak Disember 2014 dari jam 10.30 pagi sehingga 5 petang.

Ahli Majlis MPPP yang juga Anggota Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam, Dr. Tan Kim Hooi ketika ditemui berkata, pembukaan tapak tunda baharu itu adalah inisiatif MPPP bagi memberi kemudahan kepada pesalah trafik terutamanya di kawasan Batu Feringghi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Pulau Tikus (utara bahagian pulau Pulau Pinang) untuk menuntut semula kenderaan masing-masing yang ditunda.

“Sebelum ini, kereta ditunda meliputi kawasan utara (bahagian pulau Pulau Pinang) semuanya dibawa ke depoh simpanan di Jalan Timah . Tetapi kini , bagi memudahkan pesalah trafik menuntut semula kenderaan masingmasing meliputi kawasan bekaitan, mereka (pesalah trafik) hanya perlu hadir ke sini (depoh simpanan Jalan Tanjung Tokong).

“Sebagai permulaan, semua kenderaan yang ditunda ke tapak ini akan disimpan sehingga jam 5 petang, sekiranya tidak dituntut sehingga waktu tersebut, kenderaan akan ditunda ke depoh simpanan di Jalan Timah kerana tapak ini tidak selamat untuk menyimpan kenderaan pesalah trafik pada tempoh jangka masa selepas itu,” jelas beliau pada majlis sidang akhbar khas di depoh simpanan (tapak tunda) baharu di Jalan Tanjung Tokong di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kim Hooi memberitahu, MPPP kini dalam rangka menaiktaraf tapak berkeluasan 0.4 hektar itu dengan anggaran kos antara RM30,000 ke RM50,000 bagi membolehkan kenderaan yang ditunda disimpan di sini.

Jelas beliau, MPPP kini terpaksa mengambil tindakan tegas berikutan sikap degil pengguna yang tanpa rasa bersalah meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan sehingga mengganggu kelancaran lalulintas.

“Sebanyak lima kren tunda digerakkan setiap hari seawal 6 pagi hingga lewat malam. “Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah di Persiaran Gurney, Jalan Burmah, Jalan Kelawei dan Jalan Tanjung Tokong serta beberapa lokasi lain sekitar bandar George Town,” ujarnya.

Tambah Kim Hooi, serentak itu, MPPP juga telah memperkenalkan pelekat khas  bertujuan memaklumkan kepada pesalah trafik bahawa kenderaan mereka ditunda oleh pihak berkaitan.

“Sebelum ini, kita (MPPP) hanya menggunakan kapur dan dengan adanya pelekat khas ini, kita (MPPP) akan melekatkannya di atas jalan yang berkenaan bagi memaklumkan maklumat-maklumat berkaitan kepada pesalah trafik termasuk pihak yang  perlu dihubungi bagi mendapatkan balik kenderaan masing-masing,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Penguatkuasaan MPPP, Shalehudin Hashim yang turut hadir pada sesi lawatan itu menganggarkan sejumlah enam kereta ditunda setiap hari di kawasan kawasan utara bahagian pulau Pulau Pinang dan secara keseluruhan, sebanyak 17 kereta ditunda ke depoh simpanan di Jalan Timah sehari.

“Dalam tempoh sebulan, kirakira 700 kereta ditunda ke Jalan Timah dan jumlah ini akan bertambah apabila tiba musimmusim perayaan mahupun cuti sekolah.

“Kompaun sebanyak RM50 dikenakan bagi kesalahan yang didapati meletakkan kenderaan sehingga menjejaskan kelancaran trafik. Bayaran menunda adalah RM150 yang dikenakan kepada pemilik kereta ditunda.

“Bagi kenderaan berat, RM300 dikenakan dengan tambahan caj RM5 sehari jika kenderaan lewat dituntut,” kata Shalehudin.