MPSP proaktif tangani masalah kesesakan

Admin

 

SEBERANG PERAI – Bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di kawasan Seberang Perai, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mengambil inisiatif khas untuk menubuhkan Pasukan Pengawal Lalulintas di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

Pasukan pengawal lalulintas tersebut adalah gabungan daripada 10 anggota polis bantuan dan 10 anggota pengawal keselamatan yang bertanggungjawab mengawal lalulintas di kawasan “Park and Ride” ; letak kereta MPSP yang menjadi tumpuan orang ramai seperti di pasar-pasar awam, kompleks awam MPSP, pasar malam, kawasan tumpuan meletak kenderaan serta lokasi-lokasi yang terdapat majlis-majlis tertentu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif tersebut adalah selaras dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa dengan masalah kesesakan lalulintas terkawal.

Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap cabaran 3C’s iaitu ‘Cleanlines, Crime and Congestion’ (kebersihan, jenayah dan kesesakan trafik). Masalah kesesakan lalulintas merupakan salah satu cabaran yang perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri dengan merangka beberapa program menjurus untuk mengurangkan atau menyelesaikan masalah tersebut.

Sehingga kini, program Kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah ini adalah projek-projek pelebaran jalan dan Program ‘BEST’ (Bridge Express Shuttle Transit) yang telah dilancarkan pada 1 Mac lalu,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Pasukan Pengawal Lalulintas MPSP dan Penyampaian Anugerah Khas kepada 23 Pekerja MPSP di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Exco Kerajaan Tempatan & Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan Pegawai Kewangan Negeri,Mokhtar Mohd. Jait.