Syarat permohonan baru taska, tadika & pusat jagaan

Admin

 

SEBERANG PERAI – Sudah menjadi gaya hidup ibubapa yang bekerja sekarang ini lebih gemar menghantar anak-anak mereka di pusat-pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan taska selain mengambil pembantu rumah bagi menguruskan hal anak-anak ini.

Jika dilihat tatkala ini, banyak pusat asuhan, tadika dan taska sedang tumbuh seperti cendawan bagi memenuhi keperluan ibubapa bekerjaya di samping meningkatkan taraf hidup dan ekonomi negara.

Sebelum Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk pemerintahan di Pulau Pinang, setiap permohonan untuk membuka tadika, taska dan pusat asuhan menghadapi masalah. Pemilik dikehendaki menukar syarat-syarat yang terdapat dalam surat hak milik daripada kediaman kepada komersial. Maka, ramai pengusaha tidak dapat memperoleh lessen bagi mengusaha premis tersebut.

Pada 27 Februari 2009, MMK Kerajaan Tempatan telah membuat keputusan untuk mengecualikan keperluan bagi membuat pindaan syarat nyata dalam surat hak milik daripada kediaman kepada perniagaan.

AHLI Majlis MPSP, Soon Lip Chee (kiri sekali) beramah mesra dengan kanak-kanak di Tadika Star Bright, Taman Chai Leng di sini baru-baru ini.
AHLI Majlis MPSP, Soon Lip Chee (kiri sekali) beramah mesra dengan kanak-kanak di Tadika Star Bright, Taman Chai Leng di sini baru-baru ini.

Selepas tarikh tersebut, setiap pengusaha yang ingin membuka tadika, taska dan pusat asuhan dikehendaki memasukkan permohonan kebenaran merancang dan mengepilkan satu plan bangunan kepada Jabatan Perancang Bandar sekiranya terdapat pindaan dalaman (pengubahsuaian).

Sekiranya permohonan kebenaran merancang telah diuruskan, maka Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan mengeluarkan satu Borang C serta surat kelulusan dan setiap pengusaha dapat mengambil surat tersebut untuk memohon lesen.

Setiap bayaran plan kebenaran merancang untuk pengusaha yang belum menjalankan operasi ialah sebanyak RM100. Manakala bagi yang telah menjalankan operasi tanpa kelulusan dikenakan sebanyak RM1,000.

Sepanjang tempoh pemerintahan Kerajaan PR dari 2009 hingga Mac 2011, jumlah tadika yang berjaya mendapatkan lesen perniagaan ialah sebanyak 127 buah, taska sebanyak 39 buah dan pusat asuhan sebanyak 40 buah di sekitar kawasan Seberang Perai. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat memberangsangkan.

Setiap pengusaha juga dikehendaki mendapatkan surat tanpa bantahan daripada jiran tetangga demi menjaga kepentingan hak-hak awam.