MPSP tanggung RM300 ribu ganti penutup parit dicuri

Admin

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dianggarkan kerugian RM300,000 sepanjang tahun lalu bagi mengganti dan membaiki penutup parit yang sering menjadi sasaran pencuri di sekitar kawasan sini.

Terbaru, dua suspek telah dikesan bertindak sedemikian di Lorong Cempa, Butterworth di sini. Walaupun gagal memberkas dua suspek berkenaan, kejadian yang dilaporkan kepada Pasukan Peronda Sukarela (PPS) terbabit berjaya memperoleh kembali aset (penutup parit) yang cuba dilarikan.

Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee berkata, pihak MPSP sebelum ini telah meminta bantuan daripada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), PPS, Pasukan Bomba dan Penyelamat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menangani masalah kecurian penutup parit yang berleluasa.

Berkemungkinan kerana harga besi yang melambung tinggi ketika ini menyebabkan pencuri mengambil kesempatan mencuri dan menjual penutup longkang demi mengaut keuntungan.

Oleh itu, MPSP menyeru supaya orang ramai lebih prihatin dan segera melaporkan kejadian berkenaan jika didapati orang-perseorangan atau kumpulan mencurigakan berada di kawasan-kawasan berhampiran. Malah, adalah digalakkan supaya merakam gambar sebagai bahan bukti bagi tindakan lanjut,” jelas Lip Chee. 

SOON Lip Chee (kanan) dan seorang pegawai MPSP menunjukkan contoh penutup parit yang sering menjadi sasaran pencuri.
SOON Lip Chee (kanan) dan seorang pegawai MPSP menunjukkan contoh penutup parit yang sering menjadi sasaran pencuri.