Pulau Pinang & Bangkok bincang jadi ‘Friendly Cities ‘

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara pihak MPPP dan Bangkok Metropolitan Administration (BMA).

Menurut Yang diPertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail, MoU yang ditandatangani di Dewan Bandaraya Bangkok pada 5 April lalu adalah untuk mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak.

Perjanjian yang ditandatangani oleh saya (wakil MPPP) bersama Gabenor Bangkok, Mon Rajawangse Sukhumbhand Paribatra bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan Pulau Pinang di peringkat global, malah, juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan dalam usaha menjadikan Pulau Pinang dan Bangkok sebagai salah sebuah ‘Friendly Cities’

Sungguhpun Pulau Pinang merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, namun, pencapaian Pulau Pinang dalam pelaburan telah berjaya menarik minat Bangkok untuk berkerjasama dalam pelbagai aspek termasuk pelancongan, pelaburan, pentadbiran, sains dan teknologi, pendidikan, kesenian dan kebudayaan, kesihatan serta sukan,” ujar beliau ketika sidang media bagi mengumumkan perjanjian dimeterai tersebut di Bilik Perdana, di sini baru-baru ini.

MoU yang ditandatangani mempunyai tiga terma utama iaitu kerjasama bersepadu dalam lapangan pelaburan dan pentadbiran, mempromosikan pelbagai aspek pembangunan yang mampu membawa faedah bersama bagi MPPP dan BMA serta meningkatkan proses rundingan, nasihat dan usahasama sesama penjawat awam dan wakil-wakil negeri dalam usaha menuju ke arah ‘Friendly Cities’.

Dalam pada itu, Majlis Menandatangani MoU turut mendapat liputan meluas Bangkok Post yang turut mempromosikan Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul.

Hadir sama di Majlis Menandatangai MoU antara MPPP dan BMA ialah Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng; Timbalan Gabenor Bangkok, Thirachon Manomaipiboon; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan perwakilan MPPP serta BMA.

AR. Patahiyah Ismail (kiri sekali) bertukar-tukar memorandum persefahaman dengan Mon Rajawangse Sukhumbhand (dua dari kanan) sambil disaksikan Thirachon Manomaipiboon (dua dari kiri),  Ketua Menteri dan Prof. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) di Dewan Bandaraya Bangkok baru-baru ini.
AR. Patahiyah Ismail (kiri sekali) bertukar-tukar memorandum persefahaman dengan Mon Rajawangse Sukhumbhand (dua dari kanan) sambil disaksikan Thirachon Manomaipiboon (dua dari kiri), Ketua Menteri dan Prof. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) di Dewan Bandaraya Bangkok baru-baru ini.