MPSP tidak lagi dibebani dengan masalah hutang – kenangan paling manis Ahli Majlis lima penggal

TEOH Seang Hooi.
TEOH Seang Hooi.

MELIHAT kepada keperibadiannya, beliau merupakan seorang yang sangat rendah diri, peramah dan komited dengan setiap kerja yang dilakukan. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru selama enam tahun di Sarawak serta enam tahun di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Malah, beliau juga pernah menyandang tugas sebagai Timbalan Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan semasa bertugas di Sarawak.

Ikuti temubual khas wartawan Buletin Mutiara (BM), ZULIANA AZIZ serta jurugambar, MOHD. HAFIZ TAJUDIN bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi, 52, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Teoh di sini baru-baru ini.

 

BM : Boleh Cikgu ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang serta pengalaman dalam bidang berkaitan.

CIKGU TEOH : Saya pernah berkhidmat di bawah tiga orang Yang Di-Pertua (YDP) iaitu Datuk Farizan Darus, Datuk Mokhtar Jait dan terkini Puan Maimunah Mohd. Sharif. Selepas Pulau Pinang bertukar tampuk pemerintahan, saya merupakan salah seorang daripada kumpulan pertama yang dilantik sebagai Ahli Majlis pada 23 Mei 2008. Tiga yang lain ialah Soon Lip Chee, Reenu dan Johari Kassim. Sepanjang penglibatan saya sebagai Ahli Majlis terutamanya pada pemerintahan Pakatan Rakyat (PR), banyak perubahan dan peningkatan MPSP yang saya dapat lihat dalam pelbagai bidang. Pertama sekali adalah dalam bidang kewangan, disusuli dengan pentadbiran dan seterusnya semangat kekitaan yang semakin utuh kini.

BM : Seperti Cikgu katakan tadi, Cikgu telah berkhidmat bersama tiga generasi berbeza YDP MPSP. Apakah perbezaan yang paling ketara di MPSP sepanjang penglibatan Cikgu sebagai Ahli Majlis dulu dan sekarang.

CIKGU TEOH : Paling ketara sekali semestinya dari segi kewangan. Jika dulunya MPSP dikatakan hampir bankrap apabila mengalami defisit sebanyak RM230 juta sekitar tahun 2000- 2007, tetapi setelah tampuk Kerajaan Negeri diambil alih oleh PR, defisit tersebut telah dapat diatasi. Malah, MPSP berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM3.2 juta pada penghujung tahun 2008 hanya dalam masa enam bulan Kerajaan Negeri PR memerintah negeri ini. Ini merupakan perbezaan paling ketara yang saya serta semua kakitangan MPSP dapat rasakan.

BM : Apakah perkara atau kenangan manis yang paling bermakna kepada Cikgu sepanjang penglibatan sebagai Ahli Majlis.

CIKGU TEOH : Sudah semestinya kenangan tersebut ialah apabila MPSP tidak lagi dibebani dengan masalah hutang yang hampir meruntuhkan organisasi pentadbiran MPSP. Keduanya, peruntukan untuk setiap Ahli Majlis disambung semula. Peruntukan khas tersebut adalah bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan
Pulau Pinang negeri hijau dan bersih pertama di Malaysia sekaligus menjayakan kempen ‘Cleaner Greener Penang’. Rakyat juga boleh merasai hasil daripada pelaburan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri apabila pelbagai kempen kesedaran mencintai alam sekitar serta program kitar semula bagi mengelakkan pembuangan sampah secara berleluasa dan tidak terkawal.

BM : Sepanjang tempoh perkhidmatan Cikgu, apakah perkara atau tugas paling sukar dalam bidang ini.

CIKGU TEOH : Paling sukar ialah untuk atasi masalah penjaja atau peniaga haram terutama di tepi-tepi jalan. Bila kita buat operasi, mereka disaman dan ada yang melarikan diri. Esoknya, mereka kembali menjalankan
perniagaan walaupun sudah diberi amaran. Kita (MPSP) tidak mampu untuk membuat pemerhatian setiap hari ke atas peniaga-peniaga seperti ini. Kawasan Seberang Perai sangat luas. Sukar untuk kita kenalpasti mereka yang terlibat. Penguatkuasaan sahaja tidak cukup untuk mengatasi masalah berkenaan. Penguatkuasaan haruslah perserta dengan jalan penyelesaian. Barulah semua masalah dapat diatasi dan melancarkan kerja-kerja semua pihak.

BM : Apakah cadangan atau sumbangan yang MPSP dapat berikan kepada rakyat negeri ini khususnya di Daerah Seberang Perai. 

CIKGU TEOH : Pertama sekali, kami akan mempertingkatkan kerja-kerja pembersihan khususnya di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS). Kedua, kami akan berusaha untuk terus mencari jalan lain sebagai langkah penjimatan supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih luas dan cemerlang kepada rakyat. Ketiga, kami akan cuba untuk menaiktaraf MPSP menjadi sebuah organisasi bertaraf 4 Bintang.

TEOH Seang Hooi semasa ditemubual oleh wartawan Buletin Mutiara baru-baru ini.
TEOH Seang Hooi semasa ditemubual oleh wartawan Buletin Mutiara baru-baru ini.