Sifat manja cendawan tiram kelabu tidak patah semangat Rohana

Oleh: YAP LEE YING
Gambar: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

CENDAWAN tiram kelabu.
CENDAWAN tiram kelabu.

TIDAK ramai yang mengetahui bahawa perusahaan tanaman cendawan tiram kelabu memerlukan banyak kesabaran dan juga pengorbanan. Selain sifatnya yang manja, kesulitan mendapatkan bekalan bongkah serbuk kayu dan benih elok merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pengusaha-pengusaha di seluruh
negara.

Enggan mengendahkan cabaran yang bakal dihadapi, pengusaha cendawan Mawar Merah Penanti Enterprise, Rohana Shamsudin, 46, mengangapnya sebagai ujian daripada Tuhan. Sepanjang penglibatan beliau dalam
tempoh lima tahun, Rohana pernah mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit pada tahun 2010 dan 2011 ekoran keadaan cuaca yang melampau dan benih yang dibeli rosak.

“Memang saya kecewa. Tapi atas dorongan dan sokongan berterusan daripada suami, saya teruskan juga. Malah, semua kerugian ditanggung oleh suami yang menaruh kepercayaan bahawa saya boleh berjaya di dalam bidang tani ini,’’ kata Rohana kepada Buletin Mutiara (BM) yang mengadakan lawatan khas ke kediaman yang juga lokasi penanaman cendawan tiram kelabu miliknya di Kampung Petani, Penanti, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini baru-baru ini.

BONGKAH-bongkah serbuk kayu disusun di bilik khas bagi memastikan pertumbuhan cendawan tidak terbantut.
BONGKAH-bongkah serbuk kayu disusun di bilik khas bagi memastikan pertumbuhan cendawan tidak terbantut.

Susulan daripada kursus anjuran Jabatan Pertanian, Rohana kemudian cuba meneroka sendiri bidang tani yang begitu glamor dalam kalangan masyarakat umum sebelum ini. Tidak sampai tempoh setahun, Rohana kemudian menghadapi cabaran utama iaitu mendapatkan bekalan bongkah serbuk kayu.


Menyedari dilema tersebut, beliau kemudian mengeluarkan modal simpanannya untuk mendapatkan peralatan serta mesin memproses bongkah serbuk kayu sendiri. Pelaburannya berbaloi apabila beliau kini bukan hanya pembekal cendawan tiram kelabu kepada pasar dan restoran-restoran sekitar kawasan tersebut, malah, turut membekalkan bongkah serbuk kayu kepada pengusaha-pengusaha cendawan lain.


“Bongkah serbuk kayu adalah asas kepada penanaman cendawan tiram kelabu. Serbuk yang digunakan adalah 100% serbuk kayu getah (tanpa sebarang campuran bahan-bahan lain). Sekiranya terdapat campuran dalam bongkah serbuk kayu, maka, cendawan tidak dapat tumbuh, sebaliknya, akan dijangkiti virus dan kemudian merebak melalui proses pengewapan,’’ jelas Rohana.

Selain bongkah kayu, cabaran yang dihadapi oleh pengusaha cendawan seperti beliau adalah bekalan mendapatkan benih yang elok.

SERBUK kayu getah tanpa sebarang campuran bahan tambahan yang digunakan dalam penyediaan bongkah bagi pertumbuhan cendawan.
SERBUK kayu getah tanpa sebarang campuran bahan tambahan yang digunakan dalam penyediaan bongkah bagi pertumbuhan cendawan.

“Benih yang terbaik adalah benih tempatan. Ini dapat dibezakan melalui batang cendawan yang tumbuh kelak. Sekiranya menggunakan benih dari Siam (Thailand), batang cendawan yang tumbuh adalah lebih kecil dan mudah lesu.

Malah, menurut pengusaha-pengusaha restoran, bau sup yang dihasilkan juga akan berbau hancing,’’ ujarnya lagi.

Rohana menyatakan bahawa, ketika beliau mula menyertai bidang tani tersebut iaitu sekitar tahun 2008, masyarakat umum belum ‘pandai’ makan cendawan.

“Bagi menghabiskan bekalan cendawan yang tumbuh, setiap pagi saya akan kutip dan bungkus dalam pek-pek kecil untuk dijaja di Pasar Bukit Mertajam.

“Saya buat promosi, tiga bungkus dijual pada harga RM3.50. Pada waktu petang, saya jual goreng pisang dan sambil-sambil itu, saya turut goreng cendawan (menggunakan tepung ciptaannya sendiri) untuk dicuba para pelanggan secara percuma,’’ kata beliau yang kini turut bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dalam melengkapkan kursus penanaman cendawan kepada para pelatih di kawasan berkenaan.


Kini, bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi, cendawan Rohana dipasarkan di pasar-pasar kawasan Permatang Pauh, Seberang Jaya dan kedai-kedai makan di seluruh negeri. Pada masa sama, ada juga pembekal yang datang mengambil bekalan di rumahnya pada setiap hari.

Menjelas lanjut, Rohana menyatakan bahawa dengan keluasan 50 x 60 kaki persegi ‘rumah’ cendawan yang  diusahakan kini, kira-kira 12 hingga 15 kilogram cendawan dapat dikutip setiap hari.

Malah, sekiranya disusun elok (diletakkan secara terbalik) di dalam plastik khas, cendawan dapat bertahan dalam tempoh satu minggu.

Bagi perancangan masa depan, Rohana berharap supaya ‘rumah’ cendawannya dapat diperbesarkan lagi bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pelbagai pihak kini. Pada masa sama, beliau juga ingin mempromosikan lagi tepung goreng cendawan keluaran beliau.

ROHANA Shamsudin menunjukkan cara memasukkan biji benih cendawan tiram kelabu ke dalam bingkah serbuk kayu.
ROHANA Shamsudin menunjukkan cara memasukkan biji benih cendawan tiram kelabu ke dalam bingkah serbuk kayu.

 

Bagi tempahan dan maklumat lanjut, hubungi :

Rohana Shamsudin
013 – 403 1234
atau di alamat, 298, MMK 3,
Kampung Petani,
14000 Bukit Mertajam.