Muay Thai Piala Dr. Afif cungkil bakat muda

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Barisan peninju tempatan berjaya mengungguli pertandingan Kejohanan Muay Thai Piala Dr. Afif dengan memenangi hampir semua pertarungan yang dipertandingkan walaupun tali pinggang utama kejohanan dimenangi peserta dari Thailand.

Seramai 48 peserta menyertai kejohanan dua hari tersebut yang dianjurkan secara bersama oleh Kelab Muay Thai Tebuan Sakti dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya bertempat di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

ADUNnya, Dr. Afif Bahardin yang hadir merasmikan kejohanan itu berkata, walaupun hujan, aktiviti terbabit berjaya menarik kehadiran ramai anak muda.

“Program pada hari ini berjaya menyatukan anak-anak muda pelbagai kaum untuk samasama menyaksikan perlawanan yang berlangsung sekaligus memupuk semangat setiakawan dan mengeratkan silaturahim di antara dua negara.

“Di samping itu, kita berharap dengan penganjuran sukan ini ia dapat menarik lebih banyak penyertaan, khususnya daripada golongan belia pada masa akan datang,” katanya di sini baru-baru ini.

Selain perlawanan membabitkan peninju profesional terlatih, kategori junior untuk semua peminat Muay Thai muda berusia 12 tahun ke bawah turut diadakan sebagai usaha untuk mencungkil bakat-bakat muda.

Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan memberitahu, sehingga kini, negara ketandusan bakat-bakat muda sukan berkenaan terutamanya bagi peringkat pelapis di bawah 21 tahun.

“Justeru, saya berharap program seperti hari ini akan lebih kerap diadakan dan mungkin boleh dijadikan acara tahunan bagi kawasan Seberang Jaya,” ujar beliau.

Peninju yang berjaya memenangi perlawanan bagi setiap kategori membawa pulang piala beserta medal dan juga hadiah wang tunai.