BAGAN JERMAL – Rakyat Malaysia layak menikmati subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan menggunakan kad pengenalan serta kad tebus mata (redeem points card) untuk transaksi kali pertama sahaja, bukan setiap kali pembelian minyak bersubsidi.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu merupakan satu kelonggaran bagi memudahkan rakyat yang layak menikmati inisiatif berkenaan.
“Jangan lupa, kerajaan Persekutuan sebelum ini telah memberi RM100 menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk rakyat membeli-belah.
“Harga minyak RON95 juga telah berkurang sebanyak 61 sen seliter berbanding harga pasaran RM2.60 seliter, hasil subsidi kerajaan, yang memberi penjimatan kira-kira RM183 sebulan kepada pengguna.
“Di stesen minyak kini, pengguna tidak perlu menunjukkan kad pengenalan sebaliknya, mereka boleh menggunakan kad tebus mata seperti Petronas atau Caltex yang diterima di semua stesen minyak.
“Selepas pengesahan kali pertama dibuat menggunakan kad pengenalan, transaksi seterusnya bagi BUDI95 boleh dilakukan hanya dengan kad tebus mata,” katanya pada sidang media di Jalan Raja Uda di sini, pada 5 Oktober 2025.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ng Yee Siang.
Sementara itu, Guan Eng berkata, pelaksanaan BUDI95 yang mula dinikmati 30 September lalu telah memberi kelegaan kepada 16.4 juta rakyat yang memiliki lesen memandu aktif.
Inisiatif baharu itu menetapkan harga RM1.99 seliter bagi RON95 berbanding RM2.05 sebelum ini, dengan had pembelian bulanan sebanyak 300 liter.
Penggunaan kad pengenalan bagi pengesahan kelayakan penerima semasa transaksi kali pertama di kaunter atau terminal pembayaran automatik turut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB