Muhammad Arif Afifuddin, mahu pertahan emas kumite pada Sukan Asia 2026

Admin
fb img 1752661028350

KESABARAN adalah kunci”, ikrar tersebut menjadi pegangan atlet karate kumite kebangsaan, MUHAMMAD ARIF AFIFUDDIN AB MALIK yang sudah lama berkecimpung dalam sukan tersebut.

 

 

Menurut atlet berusia 26 tahun itu, beliau terlibat dalam sukan karate disebabkan oleh bapanya, Ab Malik Abdullah yang selalu menggemari sukan karate.

 

 

“Ayah saya akan menghantar abang-abang dan kakak-kakak saya ke sesi latihan dan seterusnya menyertai pertandingan yang mana kesemuanya berjaya serta berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

 

 

“Dari situ, saya mula menunjukkan minat dan mengikut jejak langkah mereka dan alhamdulillah, berkat kesabaran akhirnya benar-benar berbaloi kini,” ujarnya ketika dihubungi wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI baru-baru ini.

 

 

Anak kelima dari enam adik-beradik itu merupakan pemenang pingat emas dalam acara 84 kilogram (kg) kumite pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China selepas menewaskan pemenang tempat ketiga dari Kazakhstan.

 

 

Apabila diajukan soalan mengenai pengalaman dan perjalanan karier sukan, Muhammad Arif Afifuddin menceritakan bahawa banyak liku yang dilaluinya.

 

 

Terutama sekali, apabila ditimpa kecederaan sebelum kejohanan besar, namun berkat kesabaran akhirnya saya berjaya memperoleh pingat emas pada kejohanan Sukan Asia di China.

 

 

“Ayah saya selalu berpesan supaya sentiasa bersabar serta percaya bahawa kesusahan dan kekalahan yang saya lalui pasti akan ada manis di hujungnya.

 

 

“(Dan) kini saya masih dalam proses rehabilitasi akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), saya yakin akan pulih serta kembali beraksi dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

 

“Pastinya saya ingin pertahankan pingat emas acara kumite pada aksi di Sukan Asia 2026 yang bakal diadakan di Aichi-Nagoya, Jepun nanti,” jelasnya.

 

screenshot 20250716 151036 instagram
AKSI Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik (kiri) ketika menyertai salah satu kejohanan peringkat antarabangsa.

 

Muhammad Arif Afifuddin mengalami kecederaan pada kejohanan K1 Series A Championship di Salzburg, Austria selepas dijatuhkan pada pusingan pertama, awal tahun ini dan telah menjalani pembedahan baru-baru ini.

 

 

“Jadi, fokus saya sekarang lebih terarah pada proses pemulihan yang mana saya menerima rawatan secara fisioterapi dan rehabilitasi,” katanya.

 

 

Dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 baru-baru ini, Muhammad Arif Afifuddin bukan sahaja membawa pulang trofi tetapi juga wang tunai sebanyak RM4,000.

 

screenshot 20250717 094708 instagram
MUHAMMAD Arif Afifuddin Ab Malik dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 baru-baru ini. 

 

Pada November 2023, beliau turut menerima Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada majlis yang diadakan di Komtar.

 

 

Ditanya mengenai perasaan, Muhammad Arif Afifuddin meluahkan rasa syukur dan berbangga dengan pencapaiannya setakat ini.

 

 

“Tidak pernah terlintas pun saya akan menerima anugerah (Olahragawan Negeri) ini kerana sebelum ini nama saya pernah tercalon namun tuah tidak menyebelahi saya.

 

 

Syukur sangat dan ini (anugerah) adalah penghargaan buat keluarga, terutama ayah saya dan semua yang memberi kepercayaan serta sokongan tidak berbelah-bahagi selama ini.

 

 

“Saya akan jadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat untuk saya bangkit dan kembali beraksi lebih kuat serta cemerlang di pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara dan juga Pulau Pinang,” katanya.

 

 

Beliau yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang perniagaan atau sains sukan pada masa hadapan turut pernah mencipta sejarah selepas menewaskan pemenang tempat ketiga dari Kazakhstan di China.