Mungkin ada ‘pakatan tambahan’ pasca PRU15 demi bentuk Kerajaan Pusat, respons Kon Yeow

Admin
CHOW Kon Yeow dalam jerayawara di sebuah restoran dekat Bukit Tengah menyantuni para penduduk lokal pada petang tadi (20 November 2022), sebagai tanda penghargaan memberi ‘undi kemenangan’ kepadanya bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan sempena PRU15.

BUKIT TENGAH – Seperti di Eropah, Pakatan Harapan (PH) dengan jumlah kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi seharusnya diberi ruang untuk mewujudkan ‘gabungan tambahan’ pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen baharu bagi kawasan P046 Batu Kawan berkata demikian semasa diminta mengulas laporan terbaru beberapa media arus perdana mengenai Perikatan Nasional (PN) menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg bagi membincangkan pembentukan kerajaan baru, susulan tamatnya PRU15.

“Sememangnya (penjajaran politik), ini adalah lembaran baru (serta) membuka satu senario baru, kita ada Pakatan (Harapan) sebelum pilihan raya umum, kita mungkin akan ada ‘pakatan tambahan’ selepas pilihan raya umum untuk mencukupkan jumlah kerusi bagi membentuk Kerajaan Persekutuan,” jelasnya yang juga Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan selepas mengadakan jerayawara di program jerayawara 888 Family Food Court, Bukit Tengah dekat sini pada 1.30 petang tadi (20 November 2022).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshell turut sertai acara jerayawara tersebut, sebagai tanda penghargaan kemenangan Kon Yeow sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan dengan 40,400 majoriti semalam.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa berdasarkan konvensyen sedia ada di Eropah, seharusnya memberi ruang kepada Pakatan Harapan dalam proses pembentukan Kerajaan Persekutuan pasca PRU15 ini.

“Mengikut konvensyen, sepatutnya Pakatan Harapan yang menang 82 kerusi (Parlimen) dan merupakan gabungan terbesar (dari segi) bilangan Ahli Parlimen.

“Tentunya dalam tempoh ini, Pakatan Harapan juga perlu disokong oleh parti-parti lain (kalau ada) tetapi peluang itu perlu diberikan terlebih dahulu.

“Jadi, kita berharap pihak istana akan memberi peluang kepada Pakatan Harapan bagi membentuk Kerajaan (Persekutuan) yang baharu,” ulasnya dalam nada sederhana.

Selain itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa satu-satu gabungan parti politik yang mempunyai bilangan kerusi paling banyak boleh berusaha membentuk Kerajaan Persekutuan baharu, walaupun tidak mempunyai cukup bilangan kerusi iaitu 112 kerusi Ahli Parlimen.

“Di negara-negara tertentu, tidak semestinya satu gabungan mempunyai majoriti mudah, Kerajaan juga boleh dibentuk oleh parti yang (mempunyai bilangan kerusi) minoriti pun.

“Katakan (untuk membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan memerlukan majoriti mudah iaitu 112 kerusi, ia (gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak) ada 108 kerusi, atau 102 kerusi, tetapi ia (adalah gabungan parti politik) terbesar di antara semua gabungan parti politik, ia juga boleh bentuk Kerajaan (dengan syarat seperti ujian – adakah Rang Undang-Undang Perbekalan (belanjawan kerajaan) yang dibentangkan diluluskan atau tidak – walaupun dalam Kerajaan yang ada minoriti (Ahli Parlimen),” ulasnya lanjut.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow turut mengakui bahawa beliau secara peribadi sehingga kini masih belum menerima sebarang jemputan daripada Majlis Presiden PH bagi membincangkan kemungkinan mewujudkan ‘pakatan tambahan’ pasca PRU15 demi proses pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dijadual bermesyuarat pada hari esok berhubung ‘cabaran getir’ Pakatan Harapan dalam membentuk Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira jumlah kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi berkenaan.