AIR ITAM- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam memaklumkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf kabel bawah tanah 132 kilovolt (kV) dari pencawang masuk utama (PMU) Farlim ke PMU Air Terjun.
Jelasnya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik bagi memastikan kestabilan dan kecekapan bekalan tenaga kepada pengguna di kawasan Air Itam dan sekitarnya.
“Pertama sekali saya terpanggil untuk mengadakan sidang media ini kerana kerap kali ditanya oleh orang ramai tentang korekan tanah di kawasan Air Itam dan sebagainya.
“Jadi saya ingin maklumkan bahawa TNB melalui bahagian Grid sedang menjalankan projek pemasangan laluan kabel bawah tanah 132 kV dari pencawang masuk utama PMU Farlim, di hadapan Sunshine Centre ke PMU Air Terjun di Taman Botani.

“Projek ini penting untuk masa depan negeri Pulau Pinang kerana TNB melihat akan ada lagi pembangunan di masa depan yang memerlukan bekalan tenaga sekurang-kurangnya untuk 10 tahun akan datang,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sesi lawatan berhampiran Kompleks Makanan Awam Kampung Baru, Air Itam pagi tadi.
Difahamkan, projek yang sudah dimulakan sejak 4 Jun 2024 itu menelan belanja RM90 juta dengan keseluruhan projek dijangka siap Jun 2027.
Projek di Kampung Baru pula bermula 8 April lalu dan dijangka siap Jun tahun ini.
“Penjelasan ini saya perlu berikan juga kerana sebelum ini di tapak projek Kampung Baru ada landskap dan orang ramai tertanya-tanya tentang ‘kehilangan’ landskap di sini.
“Sebagai ADUN kawasan saya pun tidak akan ‘lari’ daripada sebarang persoalan dan akan menjelaskan kepada rakyat,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING