Naik taraf Kolam Renang Jalan Betek pada tahap 80 peratus, jangka siap sepenuhnya April ini

img 20260118 wa0028

PADANG LALANG – Kerja-kerja menaik taraf Kolam Renang Jalan Betek yang bermula sejak Februari 2025 telah mencapai tahap kemajuan 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata projek yang menelan kos RM3.6 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu berjalan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

“Kerja-kerja asas sudah selesai, khasnya dari segi mengatasi kebocoran dan kita jangka pemasangan jubin untuk keseluruhan kolam akan dimulakan pada Februari ini.

“Kita juga harap projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan supaya orang awam, khasnya di kawasan Bukit Mertajam dapat menggunakan kemudahan ini,” katanya dalam sidang media ketika meninjau kerja menaik taraf kolam berkenaan dekat sini pada 17 Januari 2025.

img 20260118 wa0023img 20260118 wa0030img 20260118 wa0021img 20260118 wa0031

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, K. Yoganraj Thever dan Linda Eg Kerh Wei serta Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan MBSP, Khairon Misa Khalid.

Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata kerja-kerja penaiktarafan Kolam Renang Jalan Betek amat penting dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping mencungkil bakat-bakat baru dalam arena sukan renang.

“Kita berasa amat bangga kerana negeri Pulau Pinang sebenarnya telah melahirkan banyak jaguh sukan khasnya sukan renang yang mana atlet kita berjaya mewakili negara dalam Sukan SEA di Thailand baru-baru ini,” katanya.

Zi Sen berkata Kolam Renang Jalan Betek akan diserahkan semula kepada MBSP apabila kerja-kerja menaik taraf siap kelak.

Sementara itu, Linda Ng berkata skop kerja utama projek menaik taraf Kolam Renang Jalan Betek adalah melibatkan pembinaan struktur konkrit kalis air, pemasangan jubin baharu dan kemasan dalaman kolam dan pemasangan sistem pam dan penapisan air baharu.

“Selain itu, kerja menaik taraf turut melibatkan pembinaan dan pengubahsiaan bangunan, pasangan sistem elektrik dan kemasan dan kelengkapan luaran yang lebih selesa dan selamat.

“Kolam renang ini juga akan melalui tempoh tanggung kecacatan yang mana sekiranya berlaku sebarang kerosakan dalam tempoh ini adalah di bawah tanggungjawab pihak kontraktor,” ujarnya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF