BAGAN DALAM – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menyiapkan projek penaiktarafan Pasar Awam Sri Bandar di sini dengan kos keseluruhan sebanyak RM117,100.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran berkata, pihaknya berharap MBSP dapat memperuntuk RM50,000 daripada sumber peruntukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun 2025 untuk menaik taraf kemudahan tandas awam di pasar berkenaan.
“Dengan peruntukan sebanyak RM50,000, kerja-kerja mengecat serta kerja-kerja berkaitan lain telah dimulakan pada 2 Disember 2024 dan siap pada 10 Februari 2025.
“Selain itu, dengan peruntukan sebanyak RM19,800, kerja-kerja membekal dan memasang railing OKU serta grill telah dilaksanakan pada 28 Januari 2025 dan siap pada 4 Februari 2025.
“Sementara itu, dengan peruntukan sebanyak RM47,300, kerja-kerja membekal dan memasang slab longkang konkrit (yang disesuaikan) bagi Fasa 1 bermula pada 8 Julai 2025 dan siap pada 22 Julai 2025,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang mengenal pasti cadangan projek untuk menaik taraf tandas di luar pasar awam tersebut, dan berharap MBSP dapat menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 melalui bajet tahun depan.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said; serta dua Ahli Majlis MBSP, C. Linggeswaran dan Benson Neoh Kah Wei.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB