Nasihat ibu bapa penting dorong anak-anak berjaya – ADUN

GEORGE TOWN – Nasihat ibu bapa adalah penting sebagai motivasi bagi mendorong serta menaikkan semangat anak-anak bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan menjadi insan yang berjaya.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berkata, anak-anak perlu mempraktikkan amalan sedemikian kerana ibu bapa merupakan penentu hala tuju mereka.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada penganjuran Program Bantuan Baju Sekolah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Ujarnya, kecemerlangan seseorang pelajar adalah bermula dari rumah, maka amat penting untuk anak-anak mengambil peduli nasihat dan teguran yang diberikan demi masa depan.

“Saya berada di sini hari ini adalah kerana ibu bapa saya yang tidak jemu-jemu menasihati dan menegur setiap langkah.

“(Dan) apabila kita melangkah atas nasihat dan motivasi mereka (ibu bapa) maka suatu hari nanti, tidak mustahil, kamu (pelajar) akan berada di mana saya berada serta menyerahkan sumbangan kepada pelajarpelajar lain yang memerlukan,” ucapnya pada penganjuran berkaitan.

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan dalam pada itu turut meluangkan masa beramah-mesra dengan para penerima dan ahli keluarga mereka.

Difahamkan, program tahunan berkaitan dihadiri kira-kira 550 pelajar terpilih dalam KADUN Datuk Keramat termasuk pelajar dari Rumah Ankak-anak Yatim Sri Ramakrishna Ashrama.

Semua pelajar terpilih masing-masing menerima baucar tunai RM50 bagi pembelian pakaian seragam sekolah.