Naik taraf lif Taman Jubilee Fasa 2 tunai hasrat penduduk

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BATU UBAN – Kerja-kerja menaik taraf dua unit lif dekat Taman Jubilee Fasa 2 hasil inisiatif Kerajaan Negeri baru-baru ini disifatkan sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu komuniti di sini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dr. T. Jayabalan berkata, langkah menaik taraf perkhidmatan lif berkenaan umumnya sesuatu yang diluahkan penduduk setempat setelah lif berusia lebih 27 tahun sebelum ini sering kali bermasalah.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meluluskan sebanyak 15 permohonan menaik taraf lif membabitkan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban.

“Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan projek pengecatan Blok 3, Lengkok Nipah dan kerja-kerja menaik taraf tangki air di Taman Jubile Fasa 3 di sini,” ujarnya pada majlis Sambutan Krismas dan Majlis Naik Taraf Lif baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Lip Sin, Chan Soon Aun.

Kos menaik taraf dua lif berkenaan adalah sebanyak RM148,400 yang mana 80 peratus daripadanya (RM118,720) dibiayai Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), manakala, baki 20 peratus (RM29,680) ditanggung penduduk.