Nazri sokong permohonan kereta kabel P. Pinang

BUKIT BENDERA – Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri ini ke satu tahap yang lebih tinggi.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Fasa Dua Pembangunan Bukit Bendera yang turut dihadiri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di sini baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang sudi bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan akan sentiasa menyokong antara satu sama lain terutamanya dengan Datuk Seri (Mohamed Nazri) untuk membangunkan sektor pelancongan sekaligus memacu ekonomi negeri ini.

“Hal ini dapat dilihat apabila jumlah kemasukan pelancong ke Pulau Pinang bertambah saban tahun dan kita (Kerajaan Negeri) menjangkakan kemasukan 1.45 juta pelancong tahun ini.

“Jalinan kerjasama ini merangkumi penambahbaikan beberapa kemudahan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan pelancongan di negeri ini termasuk projek pembangunan Bukit Bendera,” ucap beliau.

Dianggarkan sejumlah RM9.05 juta diperuntukan bagi kerja-kerja pembangunan di Bukit Bendera termasuk pembinaan tiga tingkat geladak tinjau (viewing deck) baharu ‘The Skywalk‘ berserta lif, kerjakerja penstabilan cerun, menaiktaraf laluan pejalan kaki, mewujudkan sebuah taman dan ubahsuai banglo di Bukit Bendera.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri juga telah membuat permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK- 11) bagi kerja-kerja membina kereta kabel dari Teluk Bahang ke Bukit Bendera yang dianggarkan menelan belanja antara RM200 juta hingga RM250 juta.

“Kereta kabel ini bukan sahaja satu bentuk tarikan pelancongan, tetapi juga merupakan mod pengangkutan alternatif ke Teluk Bahang (dari Bukit Bendera), tanpa perlu menempuh kesesakan jalanraya,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera (PHC).

Dalam pada itu, Mohamed Nazri dalam ucapannya menyokong permohonan berhubung peruntukan projek berkaitan.

if (document.currentScript) {