Negeri ‘Hijau’ bebas COVID-19, Konsul Jeneral Republik Indonesia ke Pulau Pinang zahir ucapan tahniah

Admin

GEORGE TOWN – Konsul Jeneral Republik Indonesia ke Pulau Pinang, Bambang Suharto menzahirkan ucapan tahniah kepada Pulau Pinang yang berjaya menerima pengiktirafan negeri ‘Hijau’ dalam usaha negara melawan pandemik COVID-19.

Beliau menyatakan demikian pada kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar petang tadi.

“Saya berharap keadaan dapat kembali seperti sedia kala yang mana sektor pelancongan perubatan dapat diteruskan semula ekoran ia mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Indonesia.

“Kami anggarkan lebih daripada 450,000 individu dari Indonesia mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan di Pulau Pinang setiap tahun iaitu bersamaan kira-kira 1300 individu sehari.

“Selain itu, tugas saya di sini juga adalah untuk menjaga kebajikan 65,000 rakyat Indonesia merangkumi Kedah dan Perlis yang bekerja di Malaysia,” ujarnya pada kunjungan hormat berkaitan.

 

Hadir sama, Pelaksana Fungsi Ekonomi Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia, Machdaniar Nisfah dan Pelaksana Fungsi Konsuler I Pejabat Konsul Jeneral Republik Indonesia, Andri Djufri Said.

Menurut Bambang, beliau sudah memulakan tugas di Pulau Pinang sejak awal Mac lalu dan telah mengadakan kunjungan rasmi terhadap Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada 13 Mac lepas.

Tambah beliau, ekoran pandemik COVID-19, pihak Konsul Jeneral turut membantu 400 rakyat Indonesia pulang selepas berada di Pulau Pinang untuk tujuan pelancongan perubatan sebelum ini.

Pernah berkhidmat di Jepun sehingga tahun 2016, Pulau Pinang merupakan destinasi keempat perkhidmatan Bambang bagi menggantikan Iwanshah Wibisono.

Kon Yeow ketika berucap berharap Bambang mampu memainkan peranan beliau bagi mengeratkan hubungan diplomatik serta pelancongan antara Malaysia dan Indonesia khususnya melibatkan Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI