COVID-19, pembesaran PIA mungkin ditangguh sementara – Ketua Menteri

Admin

BAYAN LEPAS – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas yang sepatutnya dimulakan pada Jun 2020 mungkin ditangguh sementara akibat penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak atasan untuk menentukan sama ada projek menaik taraf PIA perlu diteruskan atau sebaliknya.

Menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki balai pelepasan.

“Walaupun projek menaik taraf PIA telah kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk memulakan projek ini.

“Ini kerana jika keadaan kini (penularan COVID-19) masih berlarutan, lapangan terbang (PIA) ini tidak akan berfungsi dengan sepenuhnya.

“Justeru, pihak pengurusan perlu membuat pertimbangan sama ada pembesaran PIA akan mambawa manfaat atau sebaliknya, dan saya dimaklumkan bahawa keputusan jelas mengenai perkara ini mungkin ditentukan dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun dari sekarang,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas melakukan tinjauan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di PIA sebentar tadi.

Keadaan balai menunggu ketika ini lengang tanpa kehadiran penumpang.

Turut serta, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Terdahulu, ketibaan Kon Yeow pada jam 5 petang disambut oleh Pengurus Kanan MAHB, Mohd. Nadzim Hashim; Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Pintu Masuk Antarabangsa Pulau Pinang, Dr. Izani Uzair Zubair serta Pengurus Perhubungan Kerajaan (Wilayah Utara) AirAsia Berhad, Kenneth Tan.

Beliau kemudiannya diberikan taklimat kira-kira 20 minit mengenai langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan di PIA termasuk semasa penerbangan bagi mengekang perebakan COVID-19 sebelum dibawa meninjau keadaan keadaan pesawat, pusat kuarantin dan bilik isolasi serta balai ketibaan.

Meninjau keadaan kapal terbang milik syarikat penerbangan AirAsia Berhad.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa penularan COVID-19 telah membantutkan pencapaian khususnya daripada segi sasaran jumlah penumpang di PIA yang dianggarkan kira-kira 8.5 juta pada tahun ini.

“Sektor penerbangan merupakan antara yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kegiatan pelancongan, peruncitan serta sebagainya turut terjejas akibat sekatan penerbangan yang dikenakan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk bertahan dan menunjukkan semangat yang tinggi untuk menangani cabaran ini bersama-sama.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak MAHB, Jabatan Kesihatan (Negeri Pulau Pinang), lain-lain agensi penguatkuasaan serta syarikat penerbangan dan juga peniaga di lapangan terbang di atas segala usaha untuk menjamin keselamatan pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata bahawa Kerajaan Negeri masih berhubung dan berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan terus baharu ke negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan teruskan usaha membawa masuk penerbangan terus baharu selepas keadaan kembali stabil nanti. Usaha ini tidak akan terhenti sini sahaja, ini termasuk sembilan penerbangan baharu yang dijadualkan bagi tahun 2020/2021,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS