Negeri sasar 25 emas SUKMA XV

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BATU UBANKehangatan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-XV semakin terasa. Kontinjen Pulau Pinang yang terdiri daripada 433 atlit, pengurus pasukan dan jurulatih kini bersiap siaga menghadapi temasya paling berprestij negara.

Menurut Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Leong Theng Choon, acara 10 hari yang bermula 7 Julai ini bakal menyaksikan 24 acara sukan dipertandingkan.

“Kita (MSNPP) menghantar atlit berprestasi tinggi ke acara SUKMA kali ini supaya mereka (atlit-atlit) dapat menimba pengalaman dan ilmu sebagai persediaan dalam menghadapi kejohanan akan datang pada tahun 2014 kelak.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, MSNPP dan ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang ke arah pemantapan sukan,” ujar Theng Choon pada majlis sidang media di pejabat MSNPP di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi berkata, pada SUKMA ke- XIV lalu di Kuala Lumpur, kedudukan Pulau Pinang telah meningkat empat tangga ke kedudukan ke-6 berbanding kedudukan pada kejohanan sama sebelumnya di Melaka.

“Bagi SUKMA kali ini, kita mensasarkan 25 pingat emas, 20 pingat perak dan 23 pingat gangsa daripada 1,207 jumlah pingat yang dipertandingkan.

“Bukan senang untuk sesiapa saja bergelar juara, perlu disiplin, rajin berlatih dan sentiasa dahagakan kemenangan.

“Sokongan dari persatuanpersatuan sukan dan ahli keluarga terutama ibu bapa amat kritikal dalam mencorak pemikiran atlit-atlit muda,” ujar Kok Fooi yang turut berpendapat bahawa dorongan positif dan berterusan mampu melahirkan atlit yang bukan sahaja berbakat, malah, mampu menjadi jaguh sukan bertaraf global.

Tambah Kok Fooi lagi, fasiliti dan pusat latihan sukan di Pulau Pinang adalah amat terhad.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa timbul juga isu perpindahan atlit kerana peruntukan dan kekurangan fasiliti di sini.

“Walau bagaimanapun, ianya tidak melunturkan semangat juang atlit-atlit negeri untuk bertanding. Pulau Pinang masih mampu bersaing dengan jayanya.

“Saya berharap kontinjen Pulau Pinang akan meraih kejayaan di SUKMA ke-XV kelak. Selamat maju jaya. Gempur! Gempur! Gempur!,” ulas Kok Fooi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota merangkap Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (AJKMMK) Belia & Sukan, Lau Keng Ee; ADUN Sungai Pinang, Koid Teng Guan dan Timbalan Pengerusi II, Jawatankuasa Pengurus MSNPP, Datuk Ong Poh Eng.

LEONG Theng Choon
LEONG Theng Choon