Nenek Durain Farm hasilkan Duri Hitam terbaik di Pulau Pinang

Admin
photo 2025 07 03 14 32 53

SEKIRANYA ingin mencari durian jenis Duri Hitam terbaik selepas ini, pengunjung boleh cuba berkunjung ke dusun Nenek Durian Farm dekat Bukit Langkap, Permatang Pauh.

Ini kerana Duri Hitam yang dihasilkan di sini telah memenangi Pertandingan Durian Terbaik 2025 sempena Pesta Durian Pulau Pinang 2025 minggu lalu.

img 9791

Atas kemenangan tersebut, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto, DARWINA MOHD. DAUD mendekati pemilik dusun Nenek Durian Farm, KHOR CHUN NEE untuk mengetahui rahsia sebalik kemenangan tersebut baru-baru ini.

Secara amnya, Chun Nee secara berseloroh berkata tiada apa rahsia yang hebat mengenai penghasilan buah tersebut.

“Mungkin sebab saya gunakan baja organik, baja kompos, jadi buah itu lebih enak serta memenuhi kriteria untuk sebiji Duri Hitam.

photo 2025 07 03 14 30 09
“Penggunaan baja ini turut menjadikan aroma Duri Hitam lebih wangi yang mana ia menjadi salah satu kriteria utama.

“Baja ini dicipta sendiri oleh abang saya, dia bertindak sebagai arkitek untuk pokok-pokok dan hasil, manakala saya pula lebih kepada pengurusan,” ujarnya memulakan bicara.

Sebelum ini, Chun Nee pernah mendapat tempat kedua dalam pertandingan sama pada tahun 2022 melalui Udang Merah dan jenis Kampung (tempat kedua, tahun 2023).

Chun Nee berkata, beliau terlibat secara serius dalam penanaman durian sejak tahun 2017 secara separuh masa.

Menurutnya, dianggarkan terdapat kira-kira 70 batang pokok durian daripada pelbagai jenis di dusun miliknya kini.

“Disebabkan minat yang mendalam terhadap durian, saya tetap memgusahakan tanaman ini dengan bersunguh-sungguh sambil dibantu oleh ahli keluarga.

photo 2025 07 03 14 30 07

“Selain daripada buah-buah yang terkenal saya juga menjalankan eksperimen ‘kahwinkan’ durian di sini.

“Saya berani cakap, ada buah dari kebun saya yang lebih sedap daripada jenis-jenis yang ada di pasaran sekarang, cuma syarat untuk daftar sebagai hak milih adalah lima pokok.

“Tanah tidak cukup, mungkin saya terpaksa pindahkan ke dusun di Kedah untuk projek lanjut sebelum didaftarkan,” maklum anak kelahiran Bukit Mertajam itu lagi.

photo 2025 07 04 08 39 20
Berdepan cabaran binatang yang boleh merosakkan hasil tanaman, Chun Nee berkata bahawa beliau menghasikan inovasi sensor bagi menghalau kehadiran haiwan-haiwan tersebut.

“Sensor itu akan mengesan kehadiran haiwan perosak terbabit dengan menghasilkan bunyi kuat bagi menghalau mereka.

“Hasilnya, buah saya tidak langsung diganggu tupai atau monyet, ini bagi memastikan saya dapat memungut hasil yang maksimum,” jelasnya sambil berkongsi ilmu penjagaan pokok durian kepada Buletin Mutiara.

Selain itu, Chun Nee berkata faktor cuaca turut menjadi cabaran seperti menjadikan isi durian Duri Hitam menjadi sedikit tawar sekiranya cuaca terlalu panas.

photo 2025 07 04 08 39 19

Menyentuh tentang harapan, Chun Nee berharap dapat memperluaskan dusun duriannya di Yan, Kedah.

“Ini kerana di Bukit Langkap kami (pekebun) cuma diberikan status Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan sudah dengar khabar-khabar angin tempat tersebut akan dibangunkan.

“Jadi apabila status TOL kita kena terima ia bukan selama-lamanya, memang sudah ada dusun di sana, tetapi apabila kita kena pindah di sini, di sana mungkin kita boleh cari tanah-tanah lain yang lebih sesuai,” katanya lagi.