Obor APMG 2018 kini tiba di Pulau Pinang, disambut pasukan berbasikal MPSP

Admin

BUKIT TAMBUN – Selepas merentasi beberapa negeri sejak dilancarkan pada April lalu, obor Asia Pacific Masters Game (APMG) 2018 akhirnya tiba di Pulau Pinang semalam.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, obor tersebut dibawa ke negeri ini merentasi Sungai Bakap dan disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.

“Seterusnya, ia (obor) dibawa merentasi Nibong Tebal oleh anggota kelab Chinese Recreation Club (CRC) untuk diserahkan kepada ADUN Jawi, YB H’ng Moon Lye.

“Beliau kemudiannya menyerahkan obor berkenaan kepada Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik selepas tiba di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan sebelum diserahkan kepada saya di sini,” ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara selepas menerima Obor APMG 2018 dekat perkarangan letak kereta Design Village, di sini.

Turut hadir, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang, kakitangan MPSP dan lain-lain.

Tambah Rozali, pihaknya juga telah menubuhkan pasukan berbasikal terdiri daripada 30 kakitangan MPSP dengan memakai jersi rasmi sepanjang larian obor berlangsung di Seberang Perai.

“Saya amat bersyukur kerana seramai 200 pengayuh basikal membawa obor dari sempadan negeri Pulau Pinang – Perak ke Design Village.

“Saya telah menerima obor dan membawanya ke Auto City untuk diserahkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan sebelum beliau menyerahkan kepada Setiausaha Perbandaran (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod untuk dibawa mengelilingi Taman Upcycle bersama pasukan ‘Wira Oren’ pada sebelah pagi.

“Kita juga adakan program menanam pokok pinang sebanyak tujuh batang di Taman Upcycle sebagai simbolik kepada negeri Pulau Pinang,” katanya.

Rozali menjelaskan, pada hari berikutnya pula obor akan dibawa menaiki kuda ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Lalang dan dari situ akan dibawa ke Bukit D.O untuk diserahkan kepada ADUN kawasan berkaitan, Chong Eng.

Dari Bukit D.O katanya, obor seterusnya akan dibawa ke Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam menggunakan motosikal berkuasa tinggi dan diarak melalui jalan Kepala Batas sehingga ke Sungai Dua sehingga tiba di Jeti Marin Mak Mandin sebelum diserahkan kepada ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee.

“ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan ADUN Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy pula akan menerima obor di Sungai Perai dan untuk diserahkan kepada ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh untuk membawa obor berkenaan merentasi laut lepas dan teluk utara sehingga berakhir di Jeti Bagan Ajam, Seberang Perai Utara.

“Saya akan mengambil semula obor dan akan diserah kepada Datuk Bandar MBPP untuk berenang membawa merentasi teluk utara sebelum tiba di bahagian pulau,” ulasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD