Orang ramai diseru bersolidariti bersama pesakit kanser melalui program amal Relay For Life

DATUK Seri T. Devaraj (empat dari kanan) bersama wakil penaja sempat bergambar sejurus sidang media di Rumah Hospis Pulau Pinang pagi ini.

AIR ITAM – Pengerusi National Cancer Society Malaysia (NCSM) Pulau Pinang, Datuk Seri T. Devaraj mengajak orang ramai untuk bersolidariti bersama pesakit kanser melalui program amal jalan kaki Relay For Life.

Program tersebut bakal berlangsung pada 7 Oktober 2018 bertempat di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) dari jam 3 petang hingga 10 malam.

Program amal ini bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya peranan masyarakat untuk memberi sokongan kepada pesakit-pesakit kanser yang berjuang melawan penyakit tersebut.

Selain itu Relay For Life juga sebahagian daripada kempen NCSM untuk memberikan kesedaran berkenaan tabiat, gaya hidup sihat dan punca penyakit kanser di negara ini,” ringkas beliau ketika berucap pada satu sidang media di Rumah Hospis Pulau Pinang, pagi tadi.

Difahamkan, pendaftaran akan dibuka sehingga hari acara berlangsung dengan bayaran RM30.

Hadir sama, wakil-wakil penaja dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), IJM Land Berhad, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Wawasan Open University (OUM).

Terdapat pelbagai aktiviti menarik seperti permainan, persembahan muzik, pameran, pemeriksaan kesihatan, jualan makanan dan lain-lain lagi turut diadakan sempena penganjuran kali ke-14 tersebut.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 04-2284140 atau layari laman sesawang www.relayforlife.org.my  ataupun melalui Facebook Relay For Life Penang.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI