KM suarakan hasrat pertingkat pengurusan krisis, siap siaga hadapi bencana

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mahu pengurusan krisis dan bencana di Pulau Pinang dipertingkatkan dengan memfokuskan kepada pendekatan lebih menyeluruh dalam setiap tindakan yang diambil.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada pertemuan tertutup bersama-sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, Saadon Moktar di Komtar semalam.

Menurut Kon Yeow, agensi-agensi berwajib bukan hanya bertindak tatkala berlakunya bencana, sebaliknya perlu bersiap siaga sepanjang masa bagi mengurangkan risiko akibat bencana.

Rentetan itu, Saadon mencadangkan agar ditubuhkan Bomba Komuniti di setiap peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini yang dilihat mampu berfungsi mengendalikan bantuan semasa serta selepas sesuatu bencana.

Selain menjelaskan mengenai peranan dan fungsi yang digalas JBPM, turut dibincangkan pada pertemuan 30 minit itu adalah kerjasama antara agensi tersebut dengan Kerajaan Negeri dalam program-program berkaitan.

PERTEMUAN tertutup antara Ketua Menteri dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Pulau Pinang di Komtar, semalam.

Hadir sama,, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng serta lima anggota JBPM lain-lain pangkat.

JBPM mempunyai objektif untuk memberi khidmat pencegahan dan pemadaman kebakaran, menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek keselamatan serta menyediakan khidmat kemanusiaan yang cekap dan berkesan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN