P. Pinang akan capai status bandar antarabangsa – KM

GEORGE TOWN – Seramai 78 pemandu teksi, teksi pelancongan dan kereta sewa yang sah berdaftar di Pulau Pinang hadir menerima sumbangan insentif daripada Kerajaan Negeri di sini barubaru ini.

Pada majlis penyampaian ketiga yang diadakan khas tersebut adalah membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM23,400.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kebiasaannya hanya dua majlis penyampaian insentif diadakan pada setiap tahun.

“Namun, kerana sifat ambil berat dan sebagai penghargaan atas bakti para pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini, kita (Kerajaan Negeri) menganjurkan majlis ini demi meraikan mereka,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi dan Kereta Sewa di Pulau Pinang di sini barubaru ini.

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang, Abd. Malek Darus.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mengagihkan sumbangan insentif berkaitan sebanyak RM709,500 kepada 2,365 pemandu teksi, teksi pelancongan dan kereta sewa yang sah berdaftar di Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng, sumbangan tersebut adalah merupakan salah satu daripada manifesto PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) dan Kerajaan Negeri kini mengotakannya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, menjelang tahun 2030, Pulau Pinang bakal mencapai tahap kemampuan pengangkutan awam yang mampan, efisien dan holistik.

“Pulau Pinang akan mencapai status bandar antarabangsa.

“Kemampuan pengangkutan awam yang bertaraf antarabangsa ini memerlukan kerjasama yang erat di antara semua pengusaha-pengusaha pengangkutan awam di negeri ini.

“Kita akan terus membangunkan ekonomi Pulau Pinang dengan menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke sini,” ujarnya.