P.Pinang anjur Karnival Kitar Semula Komputer

GEORGE TOWN – Penganjuran Karnival Kitar Semula Komputer di Pasaraya Sunshine Farlim, di sini adalah selari dengan hasrat merealisasikan kempen “Pulau Pinang Bersih dan Hijau”.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow pada sidang akhbar baru-baru ini berkata, kempen tersebut antara lain bertujuan untuk menggalakkan anak Pulau Pinang memaksimumkan budaya kitar semula termasuk aksesori berasaskan elektronik.

Menurut Kon Yeow, karnival kali ini istimewa kerana menerima partisipasi sektor swasta seperti Dell Global Business Center Sdn. Bhd., Sunshine Wholesale Mark Sdn. Bhd. dan IRM Group of Companies.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat, lebih-lebih lagi sektor swasta dalam menjayakan program mesra alam ini,” ujarnya di Komtar, di sini.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh pada sidang akhbar itu.

Karnival ini adalah anjuran bersama Penang Environment Working Group (PEWOG) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Kon Yeow, Boon Poh, Datuk Dr Ong Hean Tee (Pengerusi PEWOG), Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha Perbandaran, MPPP), Haji Mubarak Junus (Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, MPPP), Dr. Jody Shoba (Pengarah Kesihatan Awam, Perkhidmatan Awam dan Pelesenan, MPPP), Bu Fan (Pengurus Dell), Yee Kam Ming (Pengurus Besar Sunshine) Tan Lay Bee (Pengurus Pentadbiran IRM) antara dif kehormat yang hadir pada karnival berkenaan.

Sebanyak 20 hadiah cabutan bertuah termasuk komputer riba telah berjaya dimenangi mereka yang menyertai karnival mesra alam berkenaan.

CHOW KON YEOW (lima dari kanan), Phee Boon Poh (empat dari kanan) bersama jawatankuasa kerja memegang kain rentang Karnival Kitar Semula Komputer pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.
CHOW KON YEOW (lima dari kanan), Phee Boon Poh (empat dari kanan) bersama jawatankuasa kerja memegang kain rentang Karnival Kitar Semula Komputer pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.